Halaman

11 March 2011

Program tanam kelapa sawit kawasan rumah hampir berhasil

Oleh: Aida Abd Rahman

Program meningkatkan pendapatan penduduk miskin dengan konsep penanaman kelapa sawit di kawasan rumah yang diperkenalkan kerajaan negeri tiga tahun lalu hampir menampakkan hasil apabila tanaman itu akan dituai mulai Ogos ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ia antara projek awal yang dilaksanakan apabila beliau mula-mula memegang jawatan Menteri Besar tiga tahun lalu, bertujuan menjana pendapatan penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah.
"Penduduk terlibat di kampung perintis, Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, menanam antara 10 dan 15 pokok pokok kelapa sawit di sekeliling rumah masing-masing," katanya ketika membuat lawatan kerja ke Projek Kelompok Pertanian Kampung Pondok Pasir, Ibok, Kemaman, hari ini ( 11 Mac).

Turut hadir pada majlis itu Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu, Encik Shammodin Abd Halim.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, program itu mensasarkan 50 hingga 60 penduduk di kampung-kampung yang terlibat dengan program itu menanam sekurang-kurangnya 10 pokok kelapa sawit setiap seorang di sekitar kawasan rumah masing-masing.

"Kalau dilihat pasaran semasa, harga setandan kelapa sawit RM5, tetapi kalau pokok subur, buah besar dengan harga minyak sawit yang mahal sekarang, ia boleh mencapai RM10 setandan. Jika pokok dijaga dengan baik, ia boleh dipetik sehingga tiga tandan bagi satu pokok," katanya.

Katanya, projek penanaman kelapa sawit di halaman rumah masih diteruskan dan penduduk yang berminat menyertai program itu boleh memohon menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Encik Shammodin berkata projek kelompok pertanian di Kampung Pondok Pasir melibatkan kawasan seluas 34.8 hektar telah ditanam dengan pisang, kelapa matag yang mempunyai isi tebal dan berbuah lebat berbanding kelapa biasa dan kelapa pandan yang diusahakan oleh 127 peserta.

Katanya, penanaman pisang jenis berangan di situ seluas kira-kira 10.4 hektar, kini telah mengeluarkan hasil dan dijual kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu untuk dipasarkan.

"LPP beli RM1,400 bagi setiap tan pisang daripada petani di sini yang mampu mengeluarkan hasil sehingga 16 tan pisang bagi setiap hektar dalam tempoh 10 bulan.

"Pasaran pisang berangan sangat baik sekarang dan banyak permintaan. Kalau petani usahakan bersungguh-sungguh, mereka akan dapat hasil sehingga RM25,000 bagi satu hektar dalam tempoh 10 bulan," katanya.

Penanaman kelapa di kawasan seluas 14 hektar dan kelapa pandan dengan keluasan 10.4 hektar dijangka dapat memenuhi permintaan santan dan kelapa muda tempatan.