Pekebun kecil getah di negeri ini diingatkan supaya menjual hasil getah mereka kepada koperasi bagi menjamin bahan berkenaan selari dengan harga yang ditetapkan pasaran semasa.
Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin berkata, kenaikan harga getah yang tinggi sekarang, tidak mustahil wujudnya ‘orang tengah’ bagi mengaut keuntungan mudah daripada pekebun kecil getah atau penoreh.
“Mereka perlu berhati-hati kerana jika hasil torehan dijual kepada koperasi, meraka akan mendapat harga yang ditetapkan bagi setiap kilogram dan kaedah urusan jual beli melalui koperasi juga adalah terancang dan terus kepada pemborong berlesen,” katanya.
Haji Zakaria juga tidak menafikan sebahagian besar penoreh getah hari ini perlu bekerja lebih masa, siang menoreh getah, waktu malam membuat rondaan dalam kebun semata-mata untuk memastikan tiada penceroboh masuk mengambil kesempatan ‘mencuri’ getah beku.
“Dalam keadaan sekarang mereka perlu pro-aktif, jika tidak kemungkinan besar akan berputih mata keesokkan hari,” katanya.
Beliau tidak pasti jumlah sebenar pekebun yang melakukan kerja ‘lebih masa’ tetapi bagi pemilik kebun yang berada di kawasan boleh dilalui kenderaan dianggap berisiko tinggi.
Katanya, dengan kenaikan harga getah sekarang, pekebun memperolehi pendapatan secara purata antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan dengan purata harga getah basah (skrap) antara RM8.00 hingga RM8.40 sekilogram.
“Kita tidak pelik kerana dalam keadaan sekarang kebimbangan pekebun kecil dan penoreh getah berasas dan tindakan mereka membuat kawalan di ladang masing-masing itu bagi mengelak kecurian,” katanya.
Katanya, terdapat 10,988 orang pekebun kecil getah yang produktif melibatkan kawasan seluas 20,599 hektar daripada 25,614 orang dengan keluasan 48,589 yang direkodkan di seluruh negeri.