Dalam perbicaraan kes ‘Ugutan bunuh melalui SMS’ yang bersambung hari keempat hari ini (10 Mac 2011), mahkamah mendapat keterangan saksi bernama Jacky Chen seorang ‘arkitek system’ yang berjawatan Pengurus Software Development dari Syarikat Everworks Connecting Business Ideas yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor.
Syarikat ini adalah pembekal system aplikasi SMS kepada Encik Hazwan dari syarikat Mobile Biz Network yang kemudiannya sistem itu dibeli oleh Mohd.Irwan Zainal Abidin (seorang pegawai kerani pejabat Umno Malaysia pada tahun 2009) atas arahan tertuduh (Dato’ Dr.Ahmad Ramzi Zubir).
Hari ini saksi Jacky Chen yang datang dari Petaling Jaya, diminta oleh pihak pendakwa yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami membuat pengesahan kepada beberapa paparan dalam rekod sistem aplikasi SMS itu.
Dalam kes ini, Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.
Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.
Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.
Tertuduh, yang kelihatan tenang berada di kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.
Prosiding yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.00 tengahari hari ini berlangsung di hadapan Hakim M.Bakri Abd.Majid.
Jackie sebanyak dua kali diminta melukiskan lakaran di papan putih yang disediakan bagi menjelaskan secara terang kepada mahkamah tentang rekod dan perjalan aplikasi SMS berkenaan, di samping turut menggunakan ‘laptop’ yang dipancarkan kepada skrin besar di dalam mahkamah.
Setelah berakhir sesi-soal balas di antara pihak pendakwa raya dengan saksi Jackie Chen itu, mahkamah menangguhkan perbicaaraan. Perbicaraan akan bersambung semula 16-19 Mei 2011.