Halaman

10 March 2011

Kerajaan Negeri Menaja Penerbangan Balik Pelajar ke Mesir

Oleh: Raja Faisal dan Mohd Shahrir


Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar ketika bermesra dengan pelajar Mesir.

Kerajaan negeri bakal menguruskan penghantaran kumpulan pertama yang terdiri daripada 293 pelajar ke Mesir yang di jangka 15 Mac ini.

Kebanyakan pelajar bidang perubatan itu akan dihantar dengan menaiki pesawat MAS dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada pukul 10 pagi ke KLIA sebelum di terbangkan terus ke Mesir mengunakan “Charter fly EGL”.

Penerbangan pulang pelajar kumpulan kedua dijadualkan pula pada akhir Mac atau awal April ini.

Pesawat dijangka mengambil kumpulan pelajar Terengganu yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dijangka bertolak ke Mesir, kira-kira jam 5 petang.

Perkara itu diputuskan hasil pertemuan sebahagian pelajar terlibat dengan wakil Pengarah Yayasan Terengganu dan pegawai kanan di pejabat Menteri Besar di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, petang ini (10 Mac).

Hadir sama, Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Yayasan Terengganu,Encik Razali Mahmud.

Pertemuan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi memastikan proses penghantaran balik berjalan lancar sebelum tiba waktu sebenar penerbangan.

Kos penghantaran pulang yang diperuntukan hampir RM6,000 seorang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri bagi memastikan pelajar sampai ke Mesir tepat pada masa yang dirancang.

Pelajar perubatan tahun lima, Universiti Mansurah, Wan Mohd Syazani Al Faruki Wan Mazlan melahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri serta kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana menaja kos penghantaran pulang ke Mesir.

“saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hasrat meneruskan pengajian terlaksana melalui usaha keras kerajaan negeri dalam memastikan anak jati Terengganu dapat meneruskan pengajian dengan lancar sekaligus hasrat melahirkan lebih ramai doktor perubatan dapat dicapai”, kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Bagi pelajar tahun empat dari bidang perubatan, Ainshaw University Mesir Wan Nadiah Izzah bt Wan Mohammad Nor pula, merasa amat berbangga dengan kerajaan negeri yang begitu menitik berat kebajikan dengan pelbagai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar pelajar selesa dan pulang dengan selamat ke Mesir.