Oleh: Aida Abd RahmanDua cabaran utama yang perlu dihadapi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) selain menguruskan kakitangan, guru dan pelajar yang melebihi 280,000 orang, adalah melahirkan anak bangsa yang taat setia pada negara dan hidup bersatu-padu.
Pengarahnya, Encik Razali Daud, berkata sebagai jabatan yang berperanan besar dalam melahirkan modal insan dan pembangunan sahsiah di kalangan pendidik serta pelajar, pelbagai program sedang dan sudah dilaksanakan bagi mendepani cabaran itu.
“Kita harus mencorakkan pelajar yang mempunyai sifat taat setia dan bersatu-padu, menolak pergaduhan serta melihat realiti dalam kehidupan sebagai masyarakat yang perlu hidup dalam satu rumpun dengan harmoni.
“Aktiviti membaca al-Quran yang dilaksanakan dalam tempoh 10 minit sebelum bermula sesi persekolahan harian pada awal pagi di setiap sekolah adalah antara pendekatan kita bagi melahirkan kekuatan jiwa, rohani dan iman di kalangan pelajar,” katanya pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Encik Razali berkata, usaha menyuburkan al-Quran dalam jiwa generasi muda serta penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.
Katanya, bukan hanya di sekolah, program membaca al-Quran juga diperdengarkan kepada pegawai dan kakitangan di JPNT serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Terengganu bermula jam 8 pagi.
Selain itu, katanya tanggapan segelintir pihak ramai di kalangan guru adalah golongan pembangkang juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi JPNT. Bagaimanapun, golongan gurulah yang memberi sambutan paling baik setiap kali terdapat program anjuran kerajaan negeri mahupun Pusat yang dilaksanakan di seluruh Terengganu sejak dulu lagi.
Beliau berkata, JPNT juga perlu menguruskan lebih 21,000 guru seluruh Terengganu, selain 250,000 pelajar serta kakitangan (JPNT dan PPD) seramai 4,227 orang yang pastinya tidak lekang dengan masalah dan pelbagai isu berbangkit.
Katanya, kerenah dan perangai pelajar tidak kurang hebatnya yang memerlukan pemantauan dan pengawasan setiap masa khususnya dalam kes salah laku dan aktiviti sosial termasuk masalah ponteng sekolah.
Encik Razali berkata, bukan hanya pelajar, tugas memantau dan menguruskan guru juga bukan mudah apatah lagi mengendalikan kes segelintir guru yang dikategorikan sebagai `nakal’, padahal mereka sepatutnya menjadi model serta contoh terbaik kepada pelajar.