Halaman

17 April 2011

Nira, atap, ketam nipah.....


YB Ahmad Razif menyampaikan cenderahati kepada ketua deligasi Brunei Darussalam,Awang Edi Iswandi di perjumpaan dengan Komuniti 1 Malaysia Seberang Takir, di Kg.Telaga Batin (berdekatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud-LTSM).

Oleh: Ruslan AR
Suatu pendekatan baru untuk menjayakan industri pelancongan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir ialah 'Nipah River Cruise", kata Ahli Dewan Undangan Negeri, Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pokok Nipah.

Seberang Takir memang telah terkenal dengan industri keropok dan pelbagai produk laut boleh dikembangkan lagi dengan memperkenalkan 'river cruise' dengan membawa pelancong ke destinasi penghasilan produk nipah, khususnya bila menyusuri alur sungai Terengganu melalui Hulu Takir.

Pokok nipah memang banyak produknya seperti air nira, daunnya di buat atap dan tikar,juga dijadikan 'daun rokok' tradisi yang dikenali sebagai 'rokok daun', jelas YB Ahmad Razif.

"Bahkan kita boleh pamer dan jualkan ketam-ketam nipah yang sedap isinya kepada pelancong," katanya.

Ketam Nipah Goreng Berlada

Beliau berkata demikian sewaktu berucap mengalu-alukan kehadiran deligasi dari negara Brunei Darusslam ke Komuniti 1 Malaysia, Seberang Takir bertempat di kampung Telaga Batin, Jumaat lalu.

Rombongan itu didatangkan khas oleh Kementerian dan Jabatan Penerangan Negeri sebagai langkah pertukaran maklumat dua negara.

YB Ahmad Razif berpendapat, pelancong amat suka melihat perkara-perkara sedemikian dan bukannya sekadar menyusuri sungai.

Bagaimana pun kata beliau, perancangan itu akan memakan masa sedikit kerana ia memerlukan kewangan dan usaha mengumpulkan pengusaha-pengusaha bagi menjayakan penghasilan produk nipah yang unik itu.

Katanya, oleh kerana Seberang Takir amat sinonim dengan penyair terkenal, Allyarham Dato' J.M Aziz, suatu galeri J.M Aziz sedang dalam proses mewujudkannya di Telok Ketapang, Seberang Takir.

Kelebihan Seberang Takir, Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebuah lapangan terbang antarabangsa adalah pintu masuk utama ke Terengganu adalah terletak di kawasannya iaitu di Kg.Telaga Batin, kata YB Ahmad Razif yang juga merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri.