Halaman

22 April 2011

Budaya celit IT

Oleh: Esah Abdullah

Pemimpin masyarakat dan penduduk kampung diminta merebut peluang yang ada untuk mendalami pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang kini menjadi sebahagian dari keperluan hidup khususnya ketika berurusan dengan jabatan atau institusi kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, banyak kelebihan yang akan diperolehi jika seseorang sentiasa berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dan belajar komputer juga satu daripada cabang ilmu.


“Saya berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat menggunakan kemudahan ini dengan mengadakan kursus komputer kepada penduduk dan carilah guru untuk mengendalikan kursus tersebut,” katanya, di majlis Penyerahan Komputer Riba di Pejabat JKKK Bukit Wan baru-baru ini.

Kelab Remaja Islam Malaysia (Krim) Network telah menyumbangkan empat unit komputer riba dan satu LCD/projector kepada masyarakat Kampung Bukit Wan, Batu Rakit dan kos keseluruhannya dianggarkan RM10,000.

Hadir sama Pengerusi JKKK Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail; Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Encik Ambak Ismail dan Wakil Krim, Encik Mohd Hamizul.

Katanya, dengan adanya kemudahan ICT ini terutama LCD/projector, jawatankuasa masjid boleh menggunakannya untuk menyiarkan Khutbah Multimedia bagi tatapan jemaah masjid setiap hari Jumaat.

“Saya harap masyarakat di sini dapat memaksimunkan penggunaan kemudahaan yang ada ini terutama pelajar sekolah, pemimpin organisasi dan juga orang ramai yang berminat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit.

YB Haji Khazan kemudiannya mengalu-alukan usaha Krim menyumbang komputer untuk kegunaan orang ramai dan berharap budaya celik IT ini dapat diserapkan kedalam masyarakat kampung.