Halaman

22 April 2011

Program bakti remaja dapat RM29 juta

Oleh: Esah Abdullah

Kira-kira RM29 juta diperuntukan di bawah program Bakti Remaja yang membabitkan 100,000 belia berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun yang belum berkahwin di seluruh negeri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata, tahun lalu kerajaan memperuntukan RM25 juta untuk program yang mula diperkenalkan pada 2001dan setiap tahun pertambahan belia dianggarkan 10 peratus.

Katanya, mulai tahun ini kerajaan akan memberi beberapa pendekatan baru terutama modul kursus program berkenaan di samping mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

“Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan negeri Terengganu (MBNT) akan bekerjasama melaksanakan program Bakti Remaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Encik Abd Aziz Abd Rahman dan Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Katanya, beberapa modul baru yang akan diperkenalkan adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan generasi belia cemerlang, dinamik dan progresif.

“Mulai tahun ini juga kerajaan akan member peruntukan kewangan untuk pentadbiran kepada semua pertubuhan belia yang berdaftar dengan Pertubuhan Pendaftaran Belia (ROY),” katanya.

YB Rozi berkata, jumlah sebenar yang akan diagihkan kepada pertubuhan belia belum diputuskan kerana bergantung kepada peruntukan yang akan diluluskan.

“Sehingga ini terdapat 513 pertubuhan belia yang berdaftar dengan ROY dan 200 buah pertubuhan lagi masih menunggu proses kelulusan,” katanya.