Dalam era yang mencabar ini, pelajar selaku pemain utama perlu melakukan anjakan paradigma agar mampu memberi saingan yang hebat di pentas lokal di peringkat negeri mahupun negara juga di pentas global.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, golongan ini perlu meningkat dan mengekalkan mutu prestasi kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan kokurikulum.
“Berusahalah untuk menimba sebayak mungkin pengalaman berpersatuan bagi melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya sempena majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar SPM/STPM 2010 di Wisma Darul Iman.
Katanya, kepimpinan pelajar masa kini mengambarkan gaya kepimpinan masa hadapan dan ini bertepatan dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat minda kelas pertama dalam merialisasikan hasrat pembangunan modal insan yang syumul dan seimbang.
“Saya sedar, bukan mudah untuk mengapai tangga kejayaan yang seiring dengan matlamat pendidikan negara iaitu seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.
Namun katanya, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, semua pihak telah memberi komitmen yang tinggi dalam usaha menjana kecemerlangan yang mengekalkan prestasi yang unggul ini.
YB Ahmad Razif mengucapkan syabas kepada semua pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu dan kerajaan akan terus memberi komitmen dalam memperkasakan keputusan peperiksaan tahun ini.