Halaman

20 April 2011

Penduduk tidak sabar tunggu PM tiba

Oleh: Suriati Ali

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tidak sabar-sabar menerima kunjungan pemimpin utama negara, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dijangka melawat kawasan itu pada 30 April ini (Sabtu).

Kawasan Manir menjadi antara lokasi pilihan sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke Terengganu bagi menemui pemimpin setempat dan penduduk di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, pada sebelah petang, selain beberapa kawasan lain di sekitar Kuala Nerus.

Dato’ Seri Mohd Najib yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 8.45 pagi dan terus memulakan lawatan kerja ke Pekan Batu Enam, DUN Bukit Tunggal serta Parlimen Kuala Nerus.

Lawatan kerja di Pasar Batu Enam melibatkan kawasan menjual kuih muih, pasar basah, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai barangan lain.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri bakal menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, sebelum meneruskan aktiviti gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusuf Awang Hitam, berkata pemimpin dan penduduk setempat sedang sibuk membuat pelbagai persiapan bagi menerima kunjungan Perdana Menteri.

“Pihak kami berjanji akan melakukan tugas sebaik mungkin supaya Program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir berjalan lancar dan sempurna,” katanya.