Halaman

22 April 2011

MB kesal tahap kesedaran rendah dalam aspek kebersihan

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dan tidak berpuas hati dengan tahap kesedaran yang rendah di kalangan penduduk di negeri ini dalam aspek pengurusan kebersihan.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM20 juta setahun bagi tujuan kebersihan melibatkan longkang, parit dan memotong rumput di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagaimanapun, masih terdapat rakyat negeri ini yang sanggup membuang sampah di merata tempat.
“Kira-kira 96 peratus daripada masyarakat di negeri ini beragama Islam dan kebersihan menjadi amalan dan sebahagian daripada tuntutan agama. Namun, orang kita sengaja pula membuang sampah, terutama di kawasan yang kita pasang larangan membuang sampah,” katanya.

Beliau berkata di majlis Penyampaian Hadiah pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat Negeri Terengganu 2010, di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Sawa, Marang, petang kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.

Menteri Besar berkata, penguatkuasaan yang dijalankan oleh kerajaan tidak akan memberi sebarang makna, jika sikap individu itu masih tidak mahu berubah dan sanggup melihat kawasan persekitaran rumah dan tempat awam kotor.

“Saya selalu mengulangi perkara ini kerana tidak puas hati dengan sikap kebanyakan kita yang sengaja mencampak sampah merata tempat. Kalau di negeri Melaka, Negeri Sembilan umpamanya, kawasan rumah mereka cukup indah dan bersih. Mahu lihat sampah memang susah.

“Berbeza dengan sikap orang kita, suka buang sampah depan rumah. Rumah sendiri seperti `tokang pecah’. Kalau keluar dengan kereta pun, dengan tidak semena-mena buka tingkap kereta dan buang sampah keluar dari kereta,” katanya.

Katanya, amalan menjaga kebersihan sepatutnya menjadi budaya rakyat negeri ini kerana bukan hanya menjadikan kawasan persekitaran indah dan bersih, malah mengelak daripada ancaman penyakit berjangkit seperti denggi akibat pembiakan nyamuk aedes.