Halaman

22 April 2011

Umno masih buka pintu kepada Pas- Ahmad Maslan


YB Hj.Ahmad bin Maslan bersama pimpinan tempatan di Retreat Umno Marang.


Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Ketua Penerangan Umno, Dato' Haji Ahmad bin Haji Maslan berkata, Umno masih lagi membuka pintu rundingan kepada Pas jika mahu melihat perpaduan orang-orang Melayu dan Islam.

Mana-mana bangsa sekalipun, katanya tidak salah bersatu untuk kebaikan, bangsa Cina pun bersatu sesama mereka untuk kebaikan bangsa mereka, apa bangsa sekalipun boleh bersatu untuk kebaikan.

Beliau berkata demikian kepada media, sebelum merasmikan Retreat kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan Bukit Payong, Parlimen Marang, di Kuala Terengganu petang ini (22 April).

Hadir sama, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Awang yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Ketua Penerangan YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

YB Haji Ahmad berkata, Pas pernah bersama Umno dalam Barisan Nasional (BN) di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, kini di zaman anakandanya pula Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.


YB Haji Ahmad bin Hj Maslan sewaktu mengadakan sidang media bersama YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Pemantau Dato' Hj Awang Jabar.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan akhbar Sinar Harian yang menyebut Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustaffa Ali sebagai berkata, Pas sedia kaji balik kedudukannya dalam pakatan PKR dan Dap.

Kebelakangan ini isu video seks yang dikatakan membabitkan orang kanan parti pembangkang telah menimbulkan pelbagai spekulasi tentang pakatan itu.

Mengulas perkara lain, YB Haji Ahmad berkata, untuk berdepan dengan pilihanraya akan datang Umno dan BN memerlukan calon CBMYT (Calon Boleh Menang Yang Terbaik).

Walau bagaimanapun katanya, ahli dan penyokong Umno dan BN perlu ingat matlamat mestilah jelas untuk menang, jentera mesti kuat dan kukuh, perpaduan mesti diutamakan dan calon mestilah yang terbaik untuk boleh menang.