Halaman

19 April 2011

Jalan baru hubung Kuala Besut - Pasir Putih

Oleh: Esah Abdullah


Dato' Seri Ahmad Said besama rombongan melihat peta perancangan pembinaan laluan baru menghubungkan Kuala Besut-Pantai Bisikan Bayu-Semark-Pasir Putih-Kelantan. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri merancang untuk membina satu laluan baru yang akan menghubungkan Kuala Besut ke Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Putih, Kelantan, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, jalan sejauh 1.5 kilometer itu bakal menjadi laluan altenatif kepada penduduk sekitar daerah Besut ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Kalau tidak ada aral, sebutan tender akan dibuka pada Jun depan dan kerja-kerja mengukur akan dimulakan segera,” katanya kepada pemberita dalam siri lawatan ke Besuit, di Rumah Pegawai Daerah Besut, Air Tawar, Besut semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad bagaimanapun berkata pihak kerajaan masih belum dapat menentukan kos sebenar bagi projek berkenaan kerana masih dalam peringkat kajian.

Katanya, ini merupakan satu lagi laluan baru bukan saja memudahkan penduduk di sini untuk ke Pasir Putih, tetapi juga boleh dibangunkan kawasan pelancongan di sekitar jalan berkenaan.



“Sepanjang laluan berkenaan nanti boleh dibangunkan chalet atau hotel bagi tujuan pelancongan dan ini boleh menyemarakkan industri pelancongan sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada projek pembinaan jalan-jalan baru, menaikkan taraf jalan sedia ada serta menurap semula jalan-jalan yang ada di seluruh negeri demi memberi keselesaan kepada rakyat menjalankan urusan masing-masing.