Halaman

17 April 2011

Kolej Sukan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Kolej Sukan Terengganu (KST) bagi menempatkan anak tempatan yang cemerlang dalam sukan tetapi tercicir dalam pelajaran, agar mereka dapat meneruskan pengajian di bidang kemahiran menjurus kepada sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata penubuhan kolej yang pertama seumpama itu di negara ini, tepat pada masanya sebagai satu medium bagi memastikan masa depan atlet muda Terengganu terus terbela dan tidak dipersia-siakan.
Bagi tujuan itu, menurut beliau, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli akademik dari beberapa universiti seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu dan cadangan itu kini dalam proses memuktamadkan perancangannya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk melihat kolej itu dapat dibangunkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

“Selepas kita memuktamadkan perancangan itu, kita akan mengusulkannya dalam Mesyuarat Mingguan Exco Negeri bagi mendapatkan kelulusan dan tindakan lanjut kerajaan negeri.

“Saya optimis dan amat berharap kolej ini dapat wujud di Terengganu kerana memikirkan masa depan atlet kita yang harus mempunyai tempat terbaik dan kemahiran tertentu apabila habis belajar kelak,” katanya ketika diwawancara Teganukita di pejabat beliau baru-baru ini.

Kolej itu kelak kemungkinan akan menawarkan 22 kursus berkaitan sukan seperti fisioterapi, pemakanan dan mekanik jentera seperti basikal, kereta dan jet ski.

Pihaknya juga memberi jaminan penubuhan kolej itu tidak akan menelan perbelanjaan yang besar kerana operasinya boleh dijalankan di dalam bangunan Kompleks Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu yang sudah tersedia dengan ruang yang sesuai serta mampu menampung kapasiti pelajar dalam satu-satu tempoh kelak.

Malah, katanya kos pengajiannya juga dilaksanakan sebagaimana kolej lain di seluruh Malaysia yang memberi kemudahan pinjaman kepada pelajar.

Haji Rozi berkata, idea menubuhkan kolej itu timbul selepas melihat ramai anak Terengganu berkelana ke negeri orang hanya kerana mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor sukan seperti sukan berbasikal.

“Kalau dalam sukan basikal, lebih 10 anak Terengganu berkhidmat dengan pasukan dan kelab ternama di luar negara asing. Namun sayangnya mereka hanya bersandarkan kemahiran semata-mata tetapi tidak memiliki sijil dan kelayakan yang diiktiraf.

“Apabila ada kelayakan dan sijil yang diiktiraf, pastinya mereka ditawarkan gaji yang lebih baik dan menguntungkan mereka. Oleh sebab itulah kita akan menawarkan kursus yang berkaitan yang mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka,” katanya.