Halaman

22 April 2011

SK Bukit Kuang dipilih laksana kelas maya keempat

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Makmal Komputer SK Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang, Kemaman, telah dipilih sebagai sekolah keempat di negeri ini melaksanakan kelas maya, bagi menggalakkan pelajar menggunakan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Bagi tujuan itu, pelbagai peralatan ICT akan mula dipasang di sekolah berkenaan dalam masa terdekat ini di mana selepas ini para pelajarnya berpeluang belajar secara ‘on-line’ dengan guru-guru mereka.

Sebelum ini, tiga sekolah di negeri ini dipilih melaksanakan kelas maya iaitu SK Paya Bunga (Kuala Terengganu) dan SK Kompleks Seberang Takir (Kuala Terengganu) dan SK Telok Kalong (Kemaman).

“Kita akan melaksanakan kelas maya di SK Bukit Kuang ini dalam tempoh tiga bulan lagi,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Kuang, petang ini.

SK Bukit Kuang merupakan sekolah kedua di daerah Kemaman melaksanakan kelas maya dan keempat di negeri Terengganu.

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak awal tahun ini telah mendapat perhatian banyak negara yang berminat melaksanakannya di negara mereka.

“Terbaru Arab Saudi turut berminat untuk melawat negeri ini bagi melihat sendiri pelaksanaan kelas maya,” katanya.