Halaman

18 April 2011

SUKAN PEDANG AKAN DIMAJUKAN DI TERENGGANU




Oleh: Ruslan AR

Sukan Pedang yang menjadi salah satu acara sukan yang berprestij hingga di peringkat antarabangsa akan dimajukan oleh Terengganu dengan menjadikan Sekolah Ibrahim Fikri sebagai pusat latihan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata dengan wujudnya pusat itu, Terengganu akan dapat melahirkan atlet sukan pedang yang tersendiri.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pedang Negeri Terengganu berkata, seorang jurulatih dari Indonesia akan diberi tanggungjawab melatih atlet sukan berkenaan.

Sebelum ini, Terengganu terpaksa mengimport atlet luar untuk mewakili Terengganu dalam sukan tersebut.

Memberitahu pemberita hari ini, Ahmad Razif berkata, dewan lama Sekolah Ibrahim Fikri akan diubahsuai untuk tujuan gelanggang latihan.

"Sehingga ini kita telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi membeli pakaian dan peralatan sukan pedang itu kerana sukan ini sememangnya memerlukan pembiayaan yang besar," katanya.

Ahmad Razif berharap dengan adanya pusat latihan di sekolah berkenaan, sukan pedang ini akan lebih maju di negeri ini dan dapat melahirkan bakat-bakat baru.


S