Halaman

19 April 2011

Pembesaran jalan atasi kesesakan

Oleh: Suriati Ali

Hasrat kerajaan negeri melebarkan Jalan Semarak menghala ke Bulatan Batu Enam, Kuala Terengganu sejauh lebih dua kilometer, daripada dua lorong kepada tiga lorong, dialu-alukan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.


Jaafar Wook, 57

Pengguna jalan raya, Jaafar Wook, 57, berkata pembesaran jalan itu mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud menghala ke Batu Enam, terutama pada waktu puncak.

“Pengguna jalan raya sudah lama menunggu pelaksanaan projek ini terutama mereka yang berulang-alik ke pusat bandar Kuala Terengganu sama ada urusan kerja, berniaga dan menghantar anak ke sekolah pada setiap hari.

“Diharapkan pihak berkaitan mempercepatkan projek ini supaya lalu lintas di kawasan itu lebih lancar walaupun tiba musim cuti perayaan dan cuti sekolah,” katanya.


Halipah Mustapa, 42

Halipah Mustapa, 42, berkata pembesaran jalan itu merupakan bonus kepada penguna jalan raya dan penduduk, terutama pelajar yang bersekolah di kawasan berdekatan.

“Apabila lorong sedia ada dilebarkan, ia mampu mengurangkan rasa takut pelajar setiap kali menempuh kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengakui pembinaan lorong ini sangat dinanti-nantikan pengguna jalan raya yang sentiasa inginkan keselesaan dan keselamatan sewaktu memandu.

“Anggaran kos bagi projek ini masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Apabila semua hal berkaitan seperti penyediaan pelan, tender dan sebagainya selesai, baru kita boleh bina dan kita berjanji akan melaksanakannya secepat mungkin,” katanya ketika mengadakan tinjauan di kawasan itu baru-baru ini.