Sandiwara...mengaburi mata rakyat dengan pelbagai helah.
Rakyat Terengganu diingatkan supaya tidak tertipu dengan sandiwara pemimpin parti pembangkang, terutama sekali Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang penuh dengan tipu helah untuk mengaburi mata masyarakat negara ini.
Sebaliknya, mereka dinasihatkan supaya mengamalkan sikap bersyukur di atas segala kurnia yang diberikan kepada mereka melalui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN), sesuai dengan tuntutan agama.
Melalui beberapa siri perjumpaan dengan penduduk tempatan dan pembahagian bantuan pakaian sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, sepanjang minggu ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang dilakukan oleh para pemimpin BN untuk kesejahteraan mereka.
“Kerajaan beri macam-macam kepada rakyat, kita beri e-Book secara percuma, kita adakan Kelas Maya, kita beri biasiswa kepada pelajar cemerlang dan anak-anak yang masuk universiti kita beri wang pendahuluan untuk membeli kelengkapan masuk ke universiti.
“Tetapi apa yang pemimpin pembangkang beri kepada anak-anak kita ? Yang ada cuma mereka menjadi tukang hasut supaya anak-anak kita yang ada di luar negara membenci pemimpin kerajaan,” ujar beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Menurut beliau, ada pelajar Terengganu yang sedang belajar di luar negara terkandas dalam pelajaran akibat dihasut pemimpin pembangkang hingga mereka lebih berminat dalam politik daripada belajar.
Katanya, Dato’ Seri Anwar tidak melakukan apa-apa untuk membantu pelajar, sebaliknya lebih terkenal dengan segala kegiatan tidak bermoral.
Menyentuh isu video seks pemimpin pembangkang itu yang sedang hangat diperkatakan, Menteri Besar mengulas hanya dua cara Anwar boleh membersihkan namanya jika benar dia tidak bersalah.
“Pertama, Anwar mesti melakukan sumpah laknat bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam perbuatan liwat dan melakukan hubungan seks dengan pelacur seperti yang didedah dalam video seks tersebut.
“Kedua, beliau perlu menyerahkan DNA secara sukarela kepada pihak berkuasa untuk membuktikan kebenarannya,” ujar beliau.
Bagaimanapun, hingga kini pemimpin pembangkang itu tidak melakukan kedua-dua perkara tersebut dengan pelbagai alasan, termasuk kononnya pihak polis akan menipu dalam soal menentukan DNA beliau.
“Inilah antara sandiwara yang dilakukan oleh pemimpin parti pembangkang dan rakyat tidak perlu percaya lagi kepada mereka yang suka berdolak-dalik,” tegas Menteri Besar.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat berterima kasih kepada pemimpin kerajaan dan menyokong kerajaan yang ada sekarang ini supaya BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.