Halaman

23 April 2011

Pemimpin BN berfikiran jauh – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berfikiran jauh dan melaksanakan pelbagai projek dengan mengambilkira kepentingan serta keperluan masa depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apabila Kerajaan BN mahu melaksanakan sesuatu projek di negeri ini mereka sanggup menghadapi pelbagai kritikan dan kencaman daripada pemimpin parti pembangkang yang sengaja ‘menutup mata’ mereka terhadap kebaikan yang bakal dilakukan BN.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan Jambatan Bukit Kuang terpaksa dilewatkan kerana kerajaan negeri mahu reka bentuk jambatan lebih tinggi bagi membolehkannya dilalui oleh kapal besar di bawahnya, tidak seperti jambatan lain yang dibina agak rendah dan menghalang laluan kapal atau bot besar.

“Bila jambatan ini lambat dibina orang Pas ambil tanda tangan nak protes kepada kerajaan negeri. Inilah kerja orang Pas, mereka selalu mengambil kesempatan untuk menghentam pemimpin BN,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang, petang semalam.

Menteri Besar berkata, pembinaan jambatan tersebut memakan belanja lebih tinggi hampir RM200 juta, tetapi ia akan menjadi mercu tanda Bandar Kemaman dan daya tarikan pelancong apabila siap nanti.

“Sungai kita pula cantik dan pembinaan jambatan yang tinggi seperti ini kita boleh mengadakan perkhidmatan ‘river cruise’ untuk tarikan pelancong,” ujar beliau.

Beliau berkata, hal-hal seperti ini tidak disedari pemimpin parti pembangkang yang berfikiran cetek, tetapi mereka tidak pernah mahu mengakui pandangan jauh pemimpin BN kerana kepentingan politik mereka.