Halaman

22 April 2011

Exco Agama lawat `Pak Im' Bernama

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesibukan dengan tugas sebagai Pengerusi Agama dan Penerangan negeri tidak menghalang Haji Khazan Che Mat mengunjungi rakan media dari Bernama , Ibrahim Abu Bakar, 68, yang kini sedang uzur akibat penyakit gout sejak sebulan lalu, di rumahnya di Kampung Ladang Sekolah, semalam.

Sebaik selesai merasmikan satu program di sebuah sekolah menengah agama di bandar ini, Haji Khazan terus singgah ke rumah Ibrahim dan mengambil masa hampir setengah jam berbual-bual serta melihat perkembangan kesihatannya.
Dalam pertemuan yang turut dihadiri Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Encik Ayob Mamat serta rakan media daripada Bernama, Unit Komunikasi Negeri dan Jabatan Penerangan Negeri,Haji Khazan menghulurkan sedikit bantuan peribadi dan mengharapkan supaya Ibrahim pulih seperti sediakala sekaligus mampu berkhidmat seperti biasa.

Sumbangan Ibrahim yang lebih dikenali sebagai `Pak Im’ di kalangan rakan media cetak dan elektronik di Terengganu, tidak dapat dipertikai lagi memandangkan dia sudah berkhidmat sejak 40 tahun lalu dalam bidang kewartawanan dan aktif menulis pelbagai skop berita sama ada umum, politik serta sukan.

Sebelum itu, Ibrahim turut dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri. Hadir sama, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan 15 rakan media cetak serta elektronik daripada pelbagai agensi di Terengganu.

Dato’ Mohd Nasir menyampaikan sumbangan peribadi dan cenderahati kepada Ibrahim. Beliau turut berjanji untuk menyediakan seunit laptop kepada Ibrahim dalam tempoh terdekat.

Kawat turut menyampaikan hamper serta sumbangan wang tunai bagi meringankan bebanannya yang kini tiada sumber pendapatan tetap selepas diserang penyakit itu.