Halaman

19 April 2011

My Idol Raja Sehari 2011 sasar sepuluh pasangan mahu berkahwin

Oleh: Aida Abd Rahman


Encik Othman bin Endut

Golongan muda yang mempunyai teman hidup dan berhasrat mengakhiri zaman bujang bersama pasangan masing-masing namun tidak berkemampuan dari segi kewangan mungkin dapat menyelesaikan masalah itu apabila program `My Idol Raja Sehari 2011’ dilancarkan tidak lama lagi.

Sepuluh pasangan yang terpilih akan mendapat penajaan persandingan dan jamuan kenduri kahwin dengan konsep 1Malaysia yang mengetengahkan pasangan daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India dalam satu majlis yang diadakan secara besar-besaran.
Setiausaha pelaksana program, Encik Othman Endut, berkata program yang dijangka diadakan pada 22 hingga 23 Julai ini dianjurkan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu Parlimen Kuala Terengganu dan Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

Katanya, promosi dan publisiti menerusi laman sosial `facebook’ akan diadakan bagi mencari peserta dan pasangan yang layak untuk diketengahkan dalam program yang pastinya akan meninggalkan sejarah kepada peserta dan masyarakat setempat itu.

Beliau berkata,salah seorang daripada pasangan yang bakal berkahwin itu perlulah mereka yang berasal dan menginap di Parlimen Kuala Terengganu serta tidak berkemampuan untuk menguruskan majlis perkahwinan berikutan sumber kewangan yang terhad.

“Kita mahu membantu golongan sasar di kalangan mereka yang tidak berkemampuan bagi mencapai hasrat bergelar raja sehari dan pada masa yang sama memupuk semangat perpaduan sesuai dengan konsep 1Malaysia.

“Majlis itu nanti juga mampu memperkenalkan budaya masyarakat tempatan dan menggalakkan lagi tarikan pelancong bagi melihat dengan lebih jelas tradsi masyarakat Melayu, Cina dan India yang terdapat di negeri ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Menurutnya, program yang akan disusun dengan pelbagai aktiviti dan acara yang mampu menghidupkan lagi kemeriahan majlis perkahwinan dijangka akan dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selain dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.