Halaman

22 April 2011

Pilih kontraktor sebelum buat tawaran

Oleh: Suriati Ali

Golongan kontraktor berlesen di negeri ini disarankan agar lebih berhati-hati dan mengetahui skop kerja dengan terperinci bagi mengelak berlakunya projek terbengkalai.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMNT) yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata apabila perkara itu berlaku ia bukan saja merugikan kontraktor itu sendiri malah pembangunan di Terengganu.

Katanya, banyak faktor yang menyebabkan projek diusahakan terbengkalai termasuk kontraktor itu tidak kurang berkemampuan, bencana alam dan harga yang ditawarkan terlalu rendah.

“Agensi kerajaan yang berkaitan disarankan terlebih dahulu menilai kemampuan setiap kontraktor melalui rekod terdahulu selain menawarkan harga berpatutan mengikut harga semasa bahan pembinaan.

“Apabila harga yang ditawarkan terlalu rendah menyebabkan terdapat kontartor mencari jalan singkat untuk mengurang kos. Keadaan ini menyebabkan mudah berlakunya kerosakan selepas beberapa tahun siap,” katanya.

"Pada masa sama masalah ini perlu dikaji sama ada bahan yang digunakan mengikut spesifikasi atau kontraktor menyalahgunakan peruntukan yang diberi", tambah beliau.

Dato’ Mohd Nasir berkata, pihak kami akan mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menangani isu banjir yang berlaku di Sekolah Menengah Tok Jiring bagi mengatasi masalah air bertakung setiap hujan lebat.