Halaman

19 April 2011

Penjawat awam lima tahun khidmat layak mohon tanah

Oleh: Esah Abdullah


Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada perjumpaan dengan Penjawat Awam Daerah Besut, di Dewan Majlis Daerah Besut Gong Kemuntong. - Foto: Harish Fadzillah.

Penjawat awam di negeri ini yang berkhidmat lima tahun ke atas layak memohon tanah kerajaan sama ada untuk tapak rumah atau tanah pertanian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebelum ini kerajaan negeri menghadkan mereka yang berkhimat lebih 10 tahun saja layak menikmati kemudahan itu, tetapi mulai tahun lalu syarat tersebut diturunkan kepada lima tahun.

“ini satu penghargaan kerajaan kepada penjawat awam di negeri ini yang banyak membantu melonjakkan pembangunan negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Daerah Besut, di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemutong, Besut petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mat Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar dan Ahli Parlimen Besut, merangkap Penasihat Agama Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Abdullah Mohamed Zin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, merangkap Pengerusi Mara, Dato’ Seri Idris Jusoh; Adun Kota Putera, YB Muhammad Pehimi Yusof; Adun Hulu Besut, YB Nawi Mohamad; Adun Jabi, YB Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh.

Menteri Besar berkata, setiap penjawat awam anak tempatan layak memiliki tanah dan perlu memilih sama ada tapak rumah atau tanah pertanian manakala penjawat awam Persekutuan syarat memohon adalah mereka yang berkhidmat 10 tahun ke atas.

“Mereka perlu pilih sama ada tapak rumah ( 1 lot) atau tanah pertanian (1 hektar) bagi satu keluarga (suami isteri) dan jika salah seorang daripadanya sudah ada tanah mereka dianggap tidak layak memiliki pemberian ini,” katanya.



Dalam pertemuan berkenaan, Dato’ Seri Ahmad mengingatkan penjawat awam perlu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas serta sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Kerajaan beri gaji bulanan dan sediakan pelbagai bantuan anak sekolah dan sebagainya, jangan ada yang ingin sabotaj kerajaan pula, sikap ini tidak betul,” katanya kepada lebih 500 penjawat awam dan pemimpin masyarakat yang memenuhi dewan tersebut.