Halaman

18 April 2011

Karnival candat sotong tarikan baru pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 menjadi antara aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri yang dijangka mampu menarik penyertaan pelawat tempatan dan luar negeri ke Terengganu.

Program anjuran akhbar Harian Metro dengan kerjasama Kerajaan Terengganu bakal dijalankan di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Maria Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, selama tiga hari bermula 29 April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata karnival yang julung kali dilaksanakan itu menjadi medan bagi mempromosikan negeri ini serta membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan.

“Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran karnival itu akan menjadi tarikan terbaru pelancong ke negeri ini. Malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat menerusi pengajuran karnival ini.

“Tarikan pelancongan itu pula ditambah dengan faktor keadaan negara yang lebih stabil dan selamat berbanding beberapa negara lain yang sebelum ini menjadi destinasi tumpuan pelancong,” katanya selepas pembentangan kertas cadangan karnival itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, pemilihan Kuala Terengganu sebagai lokasi karnival amat tepat seiring dengan kedudukan pantainya yang menghadap Laut China Selatan apatah lagi aktiviti mencandat sotong hanya boleh diadakan di Pantai Timur terutama Terengganu.

“Penganjuran karnival ini akan memberi impak positif kepada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini amnya dan Kuala Terengganu khasnya menerusi pembabitan pelbagai pihak,” katanya