Haji Wan Harujan menunjukkan SMS dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan Umno Terengganu menyekat dan terlibat dalam urusan pengagihan duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir kepada Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Oleh: Suriati Ali
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Umno Terengganu menyekat dan terlibat dalam urusan pengagihan duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata dia kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar fitnah tanpa mendapatkan kesahihan maklumat.
“Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi `Umno Terengganu sekat duit Zakat pelajar Terengganu di Mesir yang dihantar kepadanya pada 26 Januari lalu adalah tidak benar sama sekali dan ianya berunsur fitnah.
“Sebaliknya, Maidam membelanjakan lebih RM7.9 juta sepanjang tempoh lima tahun iaitu bermula 2008 hingga 2012,” katanya.
Daripada jumlah itu, seramai 1,444 pelajar tanpa mengira fahaman politik menerima bantuan zakat bagi menampung pengajian masing-masing di pelbagai bidang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, hari ini.
Haji Wan Harujan berkata, sebagai contoh, sebelum tahun 2009 kadar bantuan hanya RM2,600 setahun, sebaliknya bermula pada tahun sama, kadar itu dinaikkan melebihi 50 peratus iaitu sebanyak RM5,000 hingga RM8,000 setahun bergantung kepada pencapaian akademik setiap pelajar.
“Pengagihan zakat kepada setiap asnaf adalah berdasarkan syariah dan peraturan yang ditetapkan jawatankuasa berkaitan dan ianya tiada sebarang kaitan dengan Umno,” katanya.
Katanya, pihaknya akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat bagi mengelak SMS sama terus disebarkan kepada orang ramai.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata dia tidak pelik dengan perkara itu kerana sudah lali dengan sikap pembangkang yang gemar menabur fitnah dan membuat tuduhan liar terhadap Umno.
Katanya, dia tidak pernah masuk campur mengenai urusan Maidam dan tidak pernah mengetahui sebarang maklumat mana-mana pelajar yang layak menerima bantuan zakat.
“Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 sudah semakin dekat, pihak pembangkang akan guna pelbagai isu bertujuan menutup segala kebaikan yang dilaksanakan Umno ,” katanya.
Katanya, pihaknya mengetahui terdapat segelintir pelajar yang menerima bantuan ini bertindak melampaui undang-undang dengan melibatkan diri dalam politik.
“Kita kesal dengan sikap mereka ini kerana bertindak di batasan walaupun menyedari setiap kemudahan yang diterima itu diusahakan dan dibantu oleh kerajaan,” katanya.