Halaman

08 February 2012

Puteri UMNO kesal Pas guna nama puteri kelirukan rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu melahirkan rasa kesal terhadap parti pembangkang (Pas) yang terus menggunakan pelbagai penipuan bagi tujuan meraih undi rakyat.

Ketuanya, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, terbaru Pas menggunakan individu Puan Rusni Hasan ,38, dari Kampung Banggol Donas sebagai mantan Ketua Puteri Kuala Nerus berceramah di pentas pembangkang di Besut, semalam.

“Ini satu pembohongan, status Puan Rosni hanya ahli biasa bukannya Ketua Puteri Kuala Nerus seperti dakwaan parti pembangkang, usianya juga telah melepasi syarat sebagai ahli pergerakan itu,” katanya kepada Teganukita.

Sambil menyuara rasa kesal, beliau menjelaskan jawatan Ketua Puteri Kuala Nerus yang dipegang oleh Puan Aida Azam tidak pernah bertukar tangan sejak ianya ditubuhkan pada 2000 hingga sekarang.

“Ternyata pihak pembangkang telah memutarbelitkan isu dan isu Puan Rusni masuk Pas seperti diumumkan Disember tahun lalu juga diragukan kerana beliau memang penyokong Pas sejak belum kewujudan puteri lagi,” katanya.

Katanya setakat ini, semua ketua Puteri lapan bahagian seluruh negeri masih kekal kecuali Kemaman Puan Hidayati Baharuddin yang habis tempoh usia diganti Puan Asfalinda Anuar.

“Semakin dekat pilihanraya umum, semakin banyak pembohongan dan penipuan yang dibuat parti Pas dan berharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan taktik kotor yang dibawa pemimpin parti itu,” katanya.




Penuntut UMT terima BB1M

Oleh: Aida Abd Rahman

Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta penuntut seluruh Malaysia turut dinikmati 7,431 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Baucar berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.49 juta disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, semalam (7 Februari).

BB1M yang bernilai RM200 mula diagihkan sejak 1 Januari dan sah digunakan sehingga 31 Mac ini yang diumumkan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2012 bertujuan membantu pelajar membeli pelbagai bahan bacaan yang berfaedah untuk kegunaan pembelajaran kumpulan itu.

Haji Ahmad Razif mengingatkan para pelajar berkenaan memanfaatkan pemberian baucar tersebut dengan sebaik-baiknya.

Turut pada majlis penyampaian baucar itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim.

Selain pelajar universiti, pelajar Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik dan institusi pengajian tinggi swasta juga mendapat manfaat BB1M yang melibatkan peruntukan kira-kira RM260 juta seluruh negara.



Penduduk Kampung Baru Kertih serbu MB ‘jual’ duku

Oleh FAUZI MOHD



Beli duku tidak payah bayar – Wajah kegembiraan itu dirakam lensa Teganukita di Kampung Baru Kertih, Kemaman apabila Dato’ Seri Ahmad Said mengambil peluang untuk ‘menjual’ buah duku di sebuah gerai penjaja di kampung berkenaan.

Orang ramai yang kebetulan berada di sekitar itu tidak melepaskan peluang untuk ‘membeli’ buah duku daripada Menteri Besar.



Dato’ Seri Ahmad singgah di gerai milik Osman Abdullah, 48, ketika beliau turun padang meninjau projek pembangunan dan infrastruktur di sekitar Kemaman, semalam.


Rakyat muak, tidak tertarik tohmahan pembangkang

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat sudah semakin muak dan dilihat tidak lagi tertarik dengan pelbagai tohmahan dan kritikan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan mengenai pelbagai program bantuan untuk rakyat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rakyat kini yang semakin bijak, menuntut bukti atas tohmahan dan kritikan tersebut yang dilihat gagal diberikan pembangkang sekaligus menyebabkan rakyat semakin menyokong kerajaan.



"Jadi bukti tidak ada, maka Barisan Nasional (BN) yang dapat menampilkan kasih sayang ini dan kasih sayang itu sudah bertempat di hati rakyat dan sukar bagi pembangkang untuk menangkis selepas ini," katanya.

Beliau berkata semikian pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 500 penerima peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Sivik Kijal, Kemamam petang semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Roshali Taha.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kejayaan kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M dan bantuan RM100 untuk kanak-kanak bersekolah dicemburui pembangkang dan menyebabkan mereka melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan.

Katanya, jika dilihat dari segi rekod pembangkang di seluruh negara, mereka gagal memberi bantuan atau sumbangan seperti dilaksanakan kerajaan.

"Oleh itu, jika hanya retorik yang dibawa pihak pembangkang kami berasa duka cita oleh kerana rakyat seharusnya tidak lagi dipesongkan dengan kata-kata kosong.

"Jadi, kami mencabar sekiranya mereka benar-benar berkeupayaan wujudkanlah kebajikan lain," katanya.


RM100 juta untuk baiki, naik taraf jalan di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lebih RM100 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri tahun ini untuk kerja-kerja pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan lama agar mencapai tahap di tetapkan di seluruh Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu RM58 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM39 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).



Di Kemaman kata beliau, sejumlah RM3.25 juta diagihkan untuk tujuan berkenaan membabitkan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan masing-masing RM750,000 untuk tiga DUN lagi iaitu Kijal, Chukai dan Air Putih.

“Sesi lawatatan kerja saya bersama PBT di setiap daerah ini untuk melihat dan meluluskan peruntukkan pembinaan jalan baru, melapis jalan sedia ada dan menaik taraf jalan agar mencapai tahap yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau projek pembangunan di sekitar Kemaman, semalam.

Turut serta, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut meminta JKR agar segera menyelenggara Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Ibok-Seri Bandi yang mengalami kerosakan teruk selepas musim tenkujuh baru-baru ini.

“Kita banyak menerima aduan menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) dan sebagainya daripada orang ramai mengenai kerosakan jalan-jalan berkenaan kerana biasalah selepas banjir, hujan lebat banyak jalan rosak,” ujarnya.



Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut melawati tapak perumahan untuk 500 unit rumah kos rendah di Teluk Kalong, sistem longkang dan perparitan di sekitar Kemaman dan projek pembangunan Bandar Baru Kijal.

Turut dilawati, bangunan kedai di Kemasik, jalan di Meraga Beris, projek naik taraf Masjid Ar Rahman Bukit Kuang serta Hospital Kemaman.

07 February 2012

Orang Pas muka dok malu: MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengikut Pas sentiasa menanam rasa tidak puas hati terhadap pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri mahupun Pusat, di mana pada hakikatnya mereka ibarat `lontar batu sembunyi tangan’.

Sebagaimana perkembangan terbaru, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) cetusan Perdana Menteri menerusi Bajet 2012 kepada seluruh rakyat negara ini yang berpendapatan RM3,000 ke bawah melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2.6 bilion juga menjadi bahan cercaan kumpulan itu bagi menjayakan agenda politik mereka.

Pada masa yang sama, BR1M juga dinikmati ramai penyokong Pas yang turut sama mengecam dan menghina usaha serta kebaikan Kerajaan Barisan Nasional itu.

“Pemimpin Pas menjaja dari kampung ke kampung menghina pelaksanaan itu dan menganggapnya sebagai Bajet Mat Jenin kerana ketidakupayaan kerajaan pusat menunaikan hasrat itu, sebaliknya itu sekadar janji pilihan raya.

“Tetapi apabila kita bagi RM500, hok tepuh pagar, mari awal siapa dia? Orang Pas. Ini kita sebut muka dok malu. Maki hamun kita, kata ke kita macam-macam, tuduh kita, fitnah kita, tetapi bab duit, dia pun nak jugak.

“Kita buat ASN, mereka kata Amanah Saham Neraka, tetapi apabila ditukar ASN kepada ASB, hok tepuh pagar pejabat pos pukul 6 pagi, orang Pas sebab dapat RM100 dah jadi RM1,000. Kita buat Bank Islam dia kata, seolah-olah masak sekawah daging babi, masuk seketul daging lembu. Akhirnya dalam dewan dia tanya kita, di mana wang kita simpan kenapa tidak disimpan di Bank Islam? Pulok dah. Jadi, Umno lakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said,di Marang, baru-baru ini.

Beliau kemudiannnya menyenaraikan beberapa bantuan yang sudah diagihkan di Marang termasuk bantuan pakaian sekolah yang dinikmati 11, 500 penerima dan bantuan hari raya untuk 176,838 isi rumah dengan kos lebih RM50 juta.

Manakala bantuan sempena Deepavali 2011 melibatkan 212 penerima dengan kos RM58,600, bantuan Tahun Baru Cina 2012 melibatkan 9,350 penerima dengan peruntukan kira-kira RM2.4 juta.

Sementara Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi DUN Rhu Rendang melibatkan 1,583 penerima, Pengkalan Berangan (1,871), Alor Limbat (696) dan DUN Bukit Payong 1,018 penerima.

Manakala BR1M melibatkan 3,364 dari DUN Rhu Rendang, Alor Limbat (2,150), Pengkalan Berangan (2,901) dan DUN Bukit Payong seramai 3,291 penerima.




Agensi pelancongan dipelawa sertai pameran antarabangsa

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia dijangka akan menyertai kira-kira 71 pameran pelancongan di luar negara dalam usaha mempromosi negara ini kepada rakyat di negara-negara yang akan dilawati sepanjang tahun ini.

Pengarah Tourism Terengganu , Mohd Nasir Khushairi berkata, penyertaan daripada agensi pelancongan di negeri ini amat dialu-alukan untuk memperkenalkan produk pelancongan tempatan yang dianjurkan oleh pelbagai negara.

Menurut beliau, pameran pelancongan itu membabitkan negara-negara bahagian Amerika, Eropah, Oceania Asia Selatan, Asia Barat, Afrika, Asia Tenggara, Asia Utara dan Asia Timur.

Katanya, dengan penyertaan agensi pelancongan khususnya dari Terengganu memberi peluang kepada pengusaha mempromosi agensi pelancongan mereka dengan menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung dan seterusnya berkunjung ke negeri ini.

Menurutnya, negeri ini mempunyai destinasi pelancongan yang unik dan menarik sebagai percutian terutama di pulau-pulau dengan keindahan semula jadi flora serta fauna.
``Begitu juga keindahan Tasir Kenyir sebagai sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara, malah negeri ini juga turut dikenali sebagai pusat kegiatan sukan lasak seperti 4 x 4,’’ ujarnya.

Sehubungan dengan itu katanya, pengusaha perlu mengambil kesempatan melalui aktiviti tersebut dalam usaha membantu meningkatkan jumlah pelancong melawat ke negari ini sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, antara pameran pelancongan terdekat yang akan disertai ialah East Mediterranean Tourism & Travel Exhibiton (EMITT) di Istanbul Turki yang dijadualkan pada 9 hingga 12 Februari dan Sales Mission to India Pakistan di Chennnai, Bangalore, Ahmadabad, Mumbai, Delhi dan Nepal pada 13 hingga 23 Februari ini.

Manakala pameran pelancongan Milan Bouesm Internationl Deltatourismo (BIT) di Milan akan diadakan pada 16 hingga 19 Februari dan PTAA Travel Tour Expo di SMX Manila, Filipina pada 1- hingga 21 Februari.

Beliau menambah, pameran lain yang dijangka akan disertai oleh Tourism Malaysia ialah Dhaka Travel Mart di Dhaka Bangladesh ( 15 hingga 17 Februari), Arabian Travel Mart Market di Dubai (29 April hingga 3 Mei), Malaysia Showcase di Nepal, Bangladesh (17 hingga 26 Mei) Sales Mission to the Middle East di Muscat, Jeddah (4 hingga 12 Mei ) dan Malaysia Mini Mart di Colombo (Jun).




Yakin menang jika letak calon `winnable’

Oleh: Suriati Ali

MANTAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bukit Payong, Dato’ Dr Abdul Latif Awang, yakin bahawa sembilan kerusi yang ditakluk Pas kini bakal bertukar tangan jika jentera parti bijak mengatur strategi dan meletak calon `winnable’ (boleh menang) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU Ke-13) nanti.

“Setiap calon perlu mempunyai kelebihan dan kreabiliti tersendiri untuk memikat hati rakyat, jika sebaliknya rakyat mungkin akan memprotes tanda tidak setuju.

“Walaupun nampak sukar, ia perlu bersepakat dengan mengkaji dan memperhalusi setiap latar belakang calon yang bakal dicadangkan.,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi PRU Ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahu pun negeri.

“Persediaan kita `tip-top’, ini bermakna kalau Perdana Menteri (Dato’ Seri Najib Tun Razak) tiup nifiri hari ini, `we are ready’ (kami sudah sedia),” katanya.

Katanya, dia yakin PRU kali ini masih milik Barisan Nasional (BN) Cuma dari segi peratusannya tidak boleh jangka tetapi saya percaya majoriti dua pertiga akan kita kekalkan.

“Jika bercakap soal calon, ia cukup sensitive sebenarnya, namun secara keseluruhannya semua boleh dikatakan `winnable’ (boleh menang), tetapi kita kena pergi pada falsafah kia iaitu dalam setandan pisang, tidak semuanya baik atau molek.

“Sudah pasti dalam banyak-banyak itu ada yang busuk, buruk dan di Terengganu pun begitu juga keadaannya,” katanya.

Menurutnya, bagi konsep boleh menang bukan soal seseorang calon itu muda atau tua. Sebaliknya kena tengok kepada situasi dan ketika, tengok siapa lawan kita jadi dia akan cari calon yang setanding dengan pihak lawan dengan kriteria tertentu.

“Dari segi peratusan siapa yang tidak winnable sekarang susah untuk dijawab. Sebagai mungkin si polan ini sudah tidak winnable, tetapi apabila kita pergi ke peringkat akar umbi, rakyat masih mahukan dia.

“Sekiranya individu yang masih dianggap winnable di peringkat akar umbi, tetapi tidak disenaraikan sebagai calon, sudah tentu ia akan menimbul masalah kepada PRU nanti,” katanya.


Kejohanan bola tampar Terengganu disertai negara luar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejohanan Bola Tampar Siri Super Terengganu di Kemaman bermula 2 hingga 4 Mac ini bakal mengundang beberapa pasukan dari luar negara.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM11,000 bakal disertai negara Taiwan, Sri Lanka, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Setiausaha Persatuan Bola Tampar Amatur Terengganu (Tava), Mohd Nasir Yusoff , berkata kejohanan itu sebagai pembuka tirai aktiviti Tava bagi tahun 2012.

“Ia juga untuk menguji skuad bola tampar skuad Sukma Terengganu yang sedang menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Zulkifli Aziz," katanya.

Katanya, Terengganu juga bakal menyertai kejohanan siri super Pahang dan Batam, Indonesia.

Dalam perkembangan lain, pasukan Terengganu menyenarai 18 pemain termasuk tiga pemain kebangsaan untuk menjalani latihan bagi menghadapi Sukma 2012 di Pahang.

Kompleks Tekstil bandar baru Kijal beroperasi Mac

Oleh FAUZI MOHD

Kompleks Tekstil yang menjadi salah satu komponen penting pembangunan bandar baru Kijal di Kemaman bakal beroperasi Mac ini, kata Dato' Seri Ahmad Said.




Menurut Menteri Besar, pusat tekstil terbesar di Pantai Timur itu disasarkan sebagai lokasi pengusaha tekstil dari dalam dan luar negara memasarkan produk mereka.



Kata beliau, kompleks tiga tingkat bernilai kira-kira RM40.7 juta itu mengandungi 44 unit kedai bakal merancakkan pertumbuhan bandar berkenaan.

"Dengan sewa bulanan premis RM3,500 seunit, pusat itu bakal menjadi tumpuan pemborong dan peruncit tekstil dari seluruh negara termasuk 10 pengusaha tempatan yang telah menyatakan minat untuk bertapak di sini," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan projek berkenaan hari ini.

Turut serta, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid.

Dato' Seri Ahmad turut mengingatkan pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab menyiapkan jalan dan sistem perparitan bandar itu dapat menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual dengan sempurna.

Katanya, projek itu diharap menjadi pusat untuk peniaga-peniaga tekstil termasuk dari Nilai 3 di Negeri Sembilan dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur mahupun dari luar negara termasuk Thailand untuk memasarkan produk mereka.

"Jadi dengan itu rakyat di sebelah Pantai Timur tidak lagi perlu ke Nilai 3 atau Kuala Lumpur untuk berbelanja," katanya.



Pembangunan di tanah seluas 160 hektar itu melibatkan l2 komponen projek dianggarkan menelan kos kira-kira RM143 juta termasuklah unit rumah kedai, Kompleks Usahawan Mara, tapak pendaratan kering Jabatan Kastam dan loji rawatan kumbahan.

"Apabila siap sepenuhnya kelak, ia mampu menjadi penjana ekonomi di Kijal dengan ribuan peluang pekerjaan. Turut dirancang ialah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Hospital Daerah Kemaman,'' katanya.



Video Kompleks Tekstil Bandar Baru KIjal Beroperasi