Halaman

25 June 2009

Pantau Anak Di Rumah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Empat pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek, Setiu, mengulangkaji pelajaran hanya menggunakan e-Book dan tidak lagi merujuk kepada buku teks yang banyak. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ibu bapa diingat supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika berada di rumah agar tidak menjadikan e- Book sebagai bahan hiburan di luar sekolah.

“Ketika dalam kelas guru boleh memantau tapi bila di rumah ibu bapa yang harus ambil alih tugas itu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Wanita Negeri, YB Haji Ashaari Idris di majlis penyampaian e-Book Sekolah Rendah Fasa 1, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Setiu kelmarin (23 Jun).

Katanya, menjadi harapan kerajaan dan semua ibu bapa, untuk melihat pelajar sekolah rendah dapat memperbaiki pembelajaran mereka, sekaligus meningkatkan prestasi mereka dalam peperiksaan.


YB Ashaari menyampaikan e-Book kepada pelajar Tahun Lima.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghargai pengorbananan kerajaan yang telah membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk membeli e-Book semata-mata ingin melihat pelajar dapat belajar lebih tekun dan mendapat keputusan cemerlang.

Di majlis itu, 136 unit e-Book telah diagihkan kepada 136 pelajar Tahun Lima dari empat sekolah dalam DUN Langkap iaitu SK Sungai Lerek, SK Kampung Rahmat, SK langkap dan SK Fikri.


Pelajar Tahun Lima DUN Langkap, Setiu, bersama e-Book tanda berterima kasih mereka kepada Kerajaan Negeri.

Terdapat 515 pelajar Tahun Lima daripada 21 buah sekolah dalam DUN Langkap dan 17 sekolah yang masih belum menerima e-Book akan menerimanya mengikut giliran dan ia akan diagihkan secara berperingkat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

24 June 2009

MB RAI PESERTA PERSIDANGAN ANTARABANGSA CAPAM

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman


Dato' Ahmad bersalaman dengan peserta Persidangan Building Public Service Leadership Capacity di Awana Kijal. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Terengganu mencipta sejarah dalam pengurusan dan perkhidmatan awam global apabila telah dipilih sebagai tempat persidangan peringkat antarabangsa, Persidangan Institusi Perkhidmatan Awam Negara-negara Komanwel iaitu berkaitan kecemerlangan pengurusan pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Persidangan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bertaraf antarabangsa berkaitan kecemerlangan pentadbiran (good governance) iaitu ‘Commonwealth Association For Public Administration and Management’ ,CAPAM dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara ( INTAN) diadakan selama tiga hari bermula 22 hingga 23 Jun bertempat di INTAN, Kampus Wilayah Timur, di Kemaman.


Sebahagian peserta Persidangan Building Public Service Leadership Capacity yang hadir pada majlis makan malam anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu di Awana Kijal.

Sempena dengan itu, Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato'Ahmad Said telah meraikan peserta seminar itu dalam satu majlis makan malam di Awana Kijal, malam tadi (23 Jun 2009) sebelum mereka pulang ke negara masing-masing.

Antara negara-negara peserta termasuklah dari Uganda, Kenya dan Negara-Negara Commonwealth, membabitkan juga Malaysia.


Dato' Ahmad bergambar bersama peserta dan artis budaya pada Majlis Makan Malam anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Dato' Ahmad melahirkan rasa gembira di atas kehadiran peserta antarabangsa menyertai persidangan yang penting itu bagi membincangkan isu-isu global berkaitan kepemimpinan,pengurusan, latihan, krisis, cabaran masa depan dan lain-lain berkaitannya.

Menteri Besar menyifatkan persidangan itu bersejarah lagi penting ke arah kesejahteraan dunia keseluruhannya serta masa depan masyarakatnya.

Beliau juga mengambil kesempatan memberitahu latar belakang Negeri Terengganu kepada peserta yang diraikan, termasuk mengenai keindahan, perusahaan, perindustrian dan pelaburan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd.Sidek Hassan yang juga merupakan ahli CAPAM dan Naib Presiden CAPAM, Paul Zahra.

Para peserta juga dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan Terengganu dalam majlis berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

Kajian Daya Saing Terengganu Tangga Ke-29

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


YB Ahmad Razif menyampaikan anugerah emas kepada peserta ketika menutup Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penyertaan pertama kali Terengganu dalam kajian daya saing menghasilkan keputusan membanggakan apabila berada di kedudukan 29 daripada 57 negara seluruh dunia yang menyertai kajian di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketua Pengarah MPC, Dato’ Nik Zainiah Nik Abd Rahman, berkata kedudukan itu amat membanggakan berikutan Terengganu pertama kali menyertai kajian yang dijalankan dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sejak tahun lalu.

Beliau berkata, hasil laporan kajian daya saing merangkumi empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, prestasi kecekapan kerajaan, infrastrktur dan keberkesanan sektor swasta, sudah dibentangkan kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada 12 Mei lalu.

“Pertama kali kajian dibuat di Terengganu, kalau ambil angka daripada 57 negara seluruh dunia, Terengganu nombor ke-29, manakala Malaysia ke-18.

“Kita (MPC) laksanakannya dengan Institute Of Management Development bertempat di Lausanne, Switzerland. Ini pertama kali dan kedudukan begitu amat membanggakan,” kata beliau selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (ICC), di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (23 Jun).


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman. Beliau merasmikan majlis itu mewakili Menteri Besar.

Dato’ Nik Zainiah berkata, Terengganu memiliki banyak kelebihan dalam daya saing termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi kerana hasil bumi seperti minyak dan gas, selain produktiviti pekerja yang tinggi serta kestabilan harga.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan UPEN dan ketua jabatan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif tertentu yang mengambil kira beberapa perkara untuk meningkatkan lagi kedudukan daya saing pada masa depan.

Menurut beliau, hasil laporan daya saing akan diaplikasikan secepat mungkin dengan menubuhkan lima kumpulan sasaran yang akan memberi penekanan terhadap sistem serta bahagian yang perlu dipertingkatkan dalam pentadbiran kerajaan.


Peserta yang mengambil bahagian Konvensyen ICC di Primula Beach Resort Kuala Terengganu.

Terengganu merupakan negeri keenam menjalankan kajian itu selepas Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Sementara itu, kedudukan daya saing Malaysia meningkat daripada tangga ke-19 ke tangga ke-18 berbanding tahun lalu dengan mengatasi beberapa negara maju yang lain seperti Itali, Korea, Jepun dan Britain.

Menurut Dato’ Nik Zainiah, buat pertama kali Malaysia mencapai nilai indeks 77 peratus menunjukkan bahawa perkara asas yang terlibat dan urusan peningkatan daya saing negara berada dalam keadaan yang sangat baik dan harus kekalkan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

Kerajaan Perluas Kawasan Industri

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Toh diiringi Dato' Low melawat sekitar kilang Low Fat Wood Industries Sdn Bhd di Ajil. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri telah meluluskan kawasan tambahan bagi beberapa kawasan industri di negeri ini, memandangkan kawasan sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang diterima setakat ini.

“Ada permintaan dari syarikat-syarikat terutama membabitkan projek ECER untuk mermbuka kilang baru di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Low Fatt Wood Industries Sdn Bhd di Ajil, Hulu Terengganu petang semalam (22 Jun).

“Untuk mengembangkan lagi aktiviti industri serta mengukuhkan kedudukan dalam bidang industri kita perlu membuka lebih luas kawasan untuk memberi lebih banyak ruang kepada pengusaha dalam dan luar negeri melabur di sini,” katanya.

Sebagai contoh katanya, kawasan perindustrian Ajil Hulu Terengganu yang mendapat tambahan 15.66 hektar disamping kawasan sedia ada seluas 30 hektar dan 119 hektar di Wakat Tapai.

“Daerah Hulu Terengganu dan Marang mempunyai potensi besar dalam industri perkayuan dan banyak terdapat kilang-kilang papan di kedua-dua daerah itu, jadi kita bersedia berbincang untuk membantu pengusaha ini jika ada masalah berbangkit,” katanya.

Katanya kerajaan telah menetapkan, semua projek industri hendaklah dibangunkan di tapak industri yang disediakan dan pengusaha tidak boleh membina di merata tempat kerana akan mendatangkan impak yang kurang baik terutama pencemaran udara dan sebagainya.

Sementara itu dalam lawatan ke kilang papan Low fatt, YB Toh telah diberi taklimat oleh Pengarah Urusan Kumpulan Low Fatt Dato’ Low Ken Chuan mengenai pengurusan dan urusniaga kilang papan yang telah beroperasi sejak 1970 ini.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

22 June 2009

Golongan Korporat Diminta Bantu OKU

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Ustaz Khazan melancarkan Tabung Bantuan PDK Batu Rakit di Gem Beach Resort, Batu Rakit. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri berharap lebih banyak badan korporat tampil membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menghulur sumbangan sama ada wang atau barang keperluan lain, bagi kegunaan mereka.

“Masyarakat normal perlu bersikap prihatin dan menunjukkan sikap memahami mereka yang istimewa ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat pada majlis Program Bersama Anak-Anak Kurang Upaya di Gem Beach Resort, Batu Rakit, Setiu semalam (20 Jun).


YB Ustaz Khazan menyertai gotong-royong pada majlis pelancaran Program Bersama Orang Kurang Upaya di Gem Beach Resort, Batu Rakit.

Turut hadir, Pengurus Besar, Gem Beach Resort Batu Rakit, Mohamed Fuad Abdul Latif dan Pengerusi Pusat Dalam Komuniti (PDK) Batu Rakit, Haji Abdul Razak Mat Amin.

Haji Kazan berkata, langkah Gem Beach Resort menganjurkan program sehari bersama penghuni PDK ini perlu dicontohi badan korporat lain agar sama-sama mengambil bahagian menjaga kebajikan anak-anak kurang upaya.


Golongan kurang upaya turut menyertai gotong-royong membersih pantai berhampiran Gem Beach Resort.

Menurutnya, kerajaan negeri menyumbangkan RM10,000 sebagai geran tahunan kepada PDK untuk belanja pengurusan dan pentadbiran manakala gaji kakitangan petugas dan sewa bangunan dibiayai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

PDK Batu Rakit merupakan sebuah pusat jagaan anak kurang upaya tertua di negara ini dan kini menempatkan 48 penghuni berusia lapan hingga 27 tahun.

Pada majis itu, Gem Beach Resort melancarkan tabung untuk mengumpul dana bagi membiayai pengurusan anak-anak kurang upaya dan serentak itu diselitkan dengan acara sukaneka dan gotong-royong membersih kawasan pantai.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

T-Mall Jual Barangan Tempatan.

oleh : Esah binti Abdullah


YB Rozi melancarkan Sahabat Usahawan Terengganu sambil diperhatikan Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik (kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah YPU, Dato' Tengku Ismail Tengku Jaafar. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

T-Mall atau Pasar Raya Rakyat (PRR) yang pertama di negeri ini akan dibina di Jalan Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi memasarkan barangan tempatan.

“Bangunan setinggi dua tingkat yang berharga RM5 juta dijangka menjadi mercu tanda kepada pengunjung ke bandar ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Rozi Mamat di majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu hari ini (21 Jun).
Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Azmi Razik; Ketua
Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Ariffin Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah YPU merangkap Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Terengganu (DPMT), Dato’ Tengku Ismail Tengku Jaafar.

“Kerajaan yakin dengan kerjasama YPU, T-Mall akan memberi pulangan yang baik kepada peniaga kecil dan sederhana di negeri ini disamping dapat memasarkan barangan keluaran peniaga tempatan secara terancang,” katanya.


Sebahagian usahawan dan bakal usahawan yang hadir pada majlis pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu peringkat Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang.

Katanya, kerajaan juga sedang merangka beberapa strategi untuk mewujudkan usahawan dalam bidang pertanian seperti tanaman jagung, usahawan ternakan (kambing) dan usahawan perikanan (ikan dalam sangkar).

“Sekarang kita sudah mengorak langkah kearah kejayaan dimana projek ternak ikan dalam sangkar di Sungai Como di bawah kelolaan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) sudah mengeluarkan lebih 30 tan ikan air tawar,” katanya.


Orang ramai mendapatkan barangan yang dijual sempena majlis pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu peringkat Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang.

“Sebuah pusat pengumpulan bahan-bahan pertanian juga sedang dalam pembinaan dan akan menyerahkan kepada YPU untuk tujuan pengurusan,” katanya.

Katanya, usaha juga sedang dibuat untuk melahirkan usahawan pertanian dengan meningkatkan pengeluaran jagung dengan penglibatan lebih ramai petani sedia menghadapi cabaran.

“Kerajaan akan memberi peruntukan 100 peratus bagi pusingan pertama tanaman dan seorang petani diberi lima hektar kawasan untuk diusahakan,” katanya.
Katanya, kerajaan ingin melihat pengusaha tanaman jagung menjadi seorang usahawan yang berjaya dan bukan sekadar untuk sara diri semata-mata.

“Sama juga dengan program SUT ini, membolehkan mereka berkomunikasi antara satu sama lain berbincang bagaimana cara memperbaiki pengeluaran dan meningkatkan jualan,” katanya.

Katanya, jangan wujudkan perasan dengki dengan rakan niaga sebaliknya jadikan mereka kawan dan sebarang masalah timbul boleh diselesaikan bersama.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

20 June 2009

e-Book Jadi Tarikan Dalam Dan Luar Negara

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Ahmad Razif menerima tabik hormat pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Terengganu. -Foto Ihsan SINAR HARIAN

Kementerian Pelajaran Malaysia sedang membuat pemantauan mengenai perkembangan pengeluaran e-Book yang dirintis oleh kerajaan negeri untuk dikembangkan ke negeri-negeri lain seluruh negara.

Umumnya kerajaan bersedia untuk membekalkan e-book ke sekolah-sekolah seluruh negara jika mendapat permintaan dan perkara tersebut telah disuarakan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Kuala Terengganu hari ini (18 Jun).

Di samping itu katanya, beberapa negeri juga telah menyatakan minat untuk membeli e-Book ini daripada kita termasuk Melaka dan Sarawak dan kita tidak ada masalah untuk membekalkannya.

“Apa yang membanggakan, negara Brunei Darul Salam juga turut mengikuti perrkembangan pendidikan yang berlaku di negeri kita dan menyatakan minatnya terhadap penggunaan e-Book,”.

“Sehubungan itu kerajaan negeri telah menghadiah e-Book kepada Kerajaan Brunei untuk diteliti kepenggunaannya,” katanya.

Kerajaan negeri telah dan akan mengadakan beberapa Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat luar negara dalam usaha untuk menginternasionalkan bidang kemahiran pendidikan di negeri ini.

Salah satunya ialah MOU dengan The Welding Institut (TWI) di Cambridge, London untuk bekerjasama dengan Tesdec dalam bidang welding under water yang membabitkan minyak dan gas.

Beberapa perkara lagi yang sedang diperhalusi ialah program Training of Trainer (TOT) dan akan menghantar beberapa wakil dari Tesdec untuk mengikuti kursus dengan TWI.

Selepas ini Insyaalah kita akan menawarkan kursus welding kepada anak-anak negeri ini manakala sijil tamat kursus akan dikeluarkan oleh TWI di Cambridge, London dan moga dengan memperolehi kemahiran tinggi ini membuka peluang pelajar kita mendapat pekerjaan yang baik.

Untuk makluman juga katanya, pihak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut berminat untuk membuka kampusnya di sini dan kita membuat cadangan di Taman Ilmu, Besut.

Wakil UniKL akan datang dalam masa terdekat ini untuk melihat lokasi yang dicadangkan oleh kerajaan dan sekaligus mengadakan perbincang berkait perkara tersebut.

Sementara itu, Haji Muhamad Awang, 58 dan Puan Fazilah Abdul Rahman, 57 telah diistiharkan sebagai Tokoh Guru Daerah Kuala Terengganu yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

MB Lawat ITC

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said meneliti kecacatan bumbung ketika membuat tinjauan ke ITC Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) yang dibina mengikut konsep Harvard Business School di Teluk Kalong, Kemaman memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan kerana terdapat beberapa kerosakan yang perlu diperbaiki segera.


Menteri Besar Dato’ Ahmad Said ketika membuat tinjauan ke ITC petang semalam (16 Jun) berkata kolej ini perlu diteliti semula kerana terdapat kecacatan yang jelas terutama pada kayu penyokong bumbung serta beberapa bahagian lain.

“Setelah diteliti terdapat 200 hingga 300 item yang perlu diperbaiki semula.atau ditukar kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai meninjau ke beberapa bangunan ITC.


Keadaan bilik penginapan yang lebih selesa di ITC Kemaman.

ITC yang mempunyai 216 bilik lengkap dengan kemudahan ICT bertaraf dunia ini telah dibina pada Mei 2005 dan dijangka siap pada Februari 2008 namun sehingga kini ianya masih belum dapat digunakan lagi kerana beberapa masalah yang timbul dan memerlukan pemantauan rapi.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti dan memantau projek ini dari masa ke semasa dan berharap ianya dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.


Pusat Latihan Antarabangsa di Teluk Kalong Kemaman memerlukan sedikit masa lagi untuk dibuka kerana terdapat beberapa kecacatan pada pembinaannya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

17 June 2009

722 Pelajar Pertama Terima E-Book

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada seorang daripada 722 pelajar Tahun Lima seluruh sekolah dalam DUN Kijal.

Seramai 722 orang murid tahun lima dari 10 Sekolah Kebangsaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman menjadi kumpulan pertama menerima E-Book yang diagihkan oleh kerajaan negeri.

Buku elektronik berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato Ahmad Said, di Dewan Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman , semalam (16 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Mohd Zuber Embong.


Guru Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman memberikan penerangan mengenai cara menggunakan komputer e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah itu selepas majlis penyerahan oleh Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Dengan pengagihan ini bermulalah fasa baru pada pelajar-pelajar tahun lima di negeri ini dan ianya akan merubah senario pembelajaran mereka kepada kaedah baru yang lebih baik,” katanya.

Katanya, selepas ini pelajar-pelajar yang telah menerima e-book dapat belajar dengan lancar dan boleh mengikuti modul pelajaran seperti biasa serta tidak perlu membawa beg yang berat ke sekolah.

Menurut Dato’ Ahmad, pengagihan seterusnya akan dibuat oleh Exco diikuti wakil rakyat di kawasan masing-masing yang akan dibuat secepat mungkin.


Seorang pelajar yatim piatu Tahun Lima menunjukkan komputer e-Book kepada neneknya selepas menerimanya daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kalau tak ada aral pengagihan ini akan selesai sehingga akhir bulan ini dan mana-mana pelajar yang telah menerima e-book boleh terus digunakan kerana semua program telah dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Pengagihan pertama melibatkan 10 sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong (57), SK Kijal (120), SK Seri Bandi 2 (66), SK Ibok (60), SK Meraga Beris (42), SK Bukit Anak Dara (17), SK Bukit Kuang (183), SK Padang Kubu (47), SK Payoh (45) dan SK Seri Bandi (85).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

Penglibatan Peserta Rancakkan Projek TIDS

Oleh : SURIATI BINTI ALI


YB Rozi menunjukkan ikan air tawar yang siap dimasak pada Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir di Dataran Shahbandar. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Dana RM800,000 kepada 20 peserta projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar (TIDS) di Sungai Como, Tasik Kenyir, dijangka merancakkan lagi projek itu.

Pembiayaan pinjaman kepada peserta terpilih itu membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk menghasilkan makanan sejuk beku berasaskan ikan peliharaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Rozi Mamat, berkata buat permulaan, TIDS adalah projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan membabitkan kos RM50 juta. Projek berskala besar itu dilancarkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Jun 2006.

Bagi merancakkan projek, kerajaan negeri memilih 20 peserta yang berminat menjayakan program di bawah bimbingan Terengganu Agrotech Development Corprotion Sdn Bhd (TADC).

“Mereka bukan hanya diberi kemudahan pinjaman, malah turut ditawarkan tempat kediaman bertujuan membantu dan memberi semangat kepada peserta menjayakan program secara serius.

“Bagi meningkatkan pengetahuan, kursus berkaitan turut disediakan, termasuk kaedah menghasilkan makanan sejuk beku dan pelbagai jenis menu berasaskan ikan peliharaan,” katanya.

YB Rozi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir, di Shahbandar Kuala Terengganu, hari ini (16 Jun).

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu, termasuk pertunjukan dan pertandingan memasak, pameran dan gerai jualan.

YB Rozi berkata, TIDC memberi impak positif kepada peserta dan ekonomi negeri.
“Apa yang membanggakan, sehingga kini projek kelolaan TADC itu mampu menambah kira-kira 1,800 sangkar daripada 200 sangkar sejak dilancarkan,

“Setiap bulan, lebih 400,000 benih ikan iaitu tilapia, siakap dan patin dilepaskan dan hasilnya dipasarkan kepada pemborong tempatan, Kuala Lumpur, Johor dan terbaru di luar negara iaitu Singapura,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)