Halaman

17 June 2009

722 Pelajar Pertama Terima E-Book

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada seorang daripada 722 pelajar Tahun Lima seluruh sekolah dalam DUN Kijal.

Seramai 722 orang murid tahun lima dari 10 Sekolah Kebangsaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman menjadi kumpulan pertama menerima E-Book yang diagihkan oleh kerajaan negeri.

Buku elektronik berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato Ahmad Said, di Dewan Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman , semalam (16 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Mohd Zuber Embong.


Guru Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman memberikan penerangan mengenai cara menggunakan komputer e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah itu selepas majlis penyerahan oleh Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Dengan pengagihan ini bermulalah fasa baru pada pelajar-pelajar tahun lima di negeri ini dan ianya akan merubah senario pembelajaran mereka kepada kaedah baru yang lebih baik,” katanya.

Katanya, selepas ini pelajar-pelajar yang telah menerima e-book dapat belajar dengan lancar dan boleh mengikuti modul pelajaran seperti biasa serta tidak perlu membawa beg yang berat ke sekolah.

Menurut Dato’ Ahmad, pengagihan seterusnya akan dibuat oleh Exco diikuti wakil rakyat di kawasan masing-masing yang akan dibuat secepat mungkin.


Seorang pelajar yatim piatu Tahun Lima menunjukkan komputer e-Book kepada neneknya selepas menerimanya daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kalau tak ada aral pengagihan ini akan selesai sehingga akhir bulan ini dan mana-mana pelajar yang telah menerima e-book boleh terus digunakan kerana semua program telah dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Pengagihan pertama melibatkan 10 sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong (57), SK Kijal (120), SK Seri Bandi 2 (66), SK Ibok (60), SK Meraga Beris (42), SK Bukit Anak Dara (17), SK Bukit Kuang (183), SK Padang Kubu (47), SK Payoh (45) dan SK Seri Bandi (85).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)