Menteri Besar, Dato' Ahmad Said melambai ke arah ribuan penduduk sekitar DUN Ajil, Hulu Terengganu yang hadir di perkarangan LPP Kampung Bukit Diman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
“Bantuan yang diterima mampu meringankan beban sekaligus memberi semangat untuk terus berbudi kepada tanah.
“Tanpa bantuan dari kerajaan negeri, sukar bagi saya untuk memiliki mesin pemotong rumput ini kerana harganya agak tinggi,” kata penerima bantuan separuh, Encik Raimi Ibrahim, 60.
Katanya, mesin ini akan digunakan sebaik mungkin bagi membersih kebun pisang seluas lebih satu ekar.
“Kebun diusahakan secara berkelompok itu cukup bermakna bagi diri saya kerana hasil yang diperolehi memuaskan serta menjadi punca rezeki utama keluarga,” katanya.
Encik Raimi berkata demikian ketika ditemui TeganuKita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31/2009 di perkarangan Pertubuhan Peladang, Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu, hari ini (15 Jun).
Majlis dihadiri kira-kira 3,000 ahli itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.
Penerima lain, Salim Hassan, 70, berkata pendapatan utama keluarganya adalah daripada hasil berkebun.
Oleh itu, dia berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat hasil setimpal. Pelbagai jenis tanaman termasuk pisang, nanas dan ubi diusahakan secara berkelompok.
“Kesungguhan yang ditunjukkan dalam bidang ini memudahkan diri saya mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
“Sejak mengusahakan kebun, pelbagai bantuan diterima, antaranya mesin penyiram, baja dan terbaru mesin pemotong rumput.
Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Pasar Raya Rakyat (PRR) bertujuan membantu penduduk mendapat barangan berkualiti dengan nilai harga rendah.
Dato' Ahmad melihat jentera bajak yang dipemerkan di gerai pameran.
Katanya, pasar raya bernilai kira-kira RM4 juta itu bakal ditempatkan di pekan Kuala Berang dan ia diusahakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
“Pembinaan pasar raya itu dijangka bermula awal tahun depan selepas siap kerja-kerja terakhir oleh agensi dilantik.
“Pembinaan PPR jelas dapat meringan beban pengguna berikutan pelbagai produk jualan di pasar raya itu nanti diperoleh daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan petani tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis itu.
Menurutnya, apabila mendapat impak positif daripada pengguna, kerajaan negeri akan berusaha membuka pasara raya sama di setiap daerah.
Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)