Halaman

16 June 2009

Pengakap Bantu Atasi Masalah Sosial

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Dr Abdul Latrif bersalaman dengan pemimpin pengakap pada majlis perasmian Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai badan beruniform harus mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah sosial dengan mengajak rakan sebaya yang bermasalah ke arah hala tuju kehidupan yang lebih baik.


Ilmu dan latihan yang diprartikkan menerusi pembabitan dalam badan beruniform seperti Pengakap mampu dimanfaatkan apabila berdepan dengan masyarakat luar.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Institut Latihan Teknikal Terengganu (TATiUC), Dato’ Dr Abdul Latiff Awang, berkata apabila mahasiswa dan mahasiswi berkenaan pulang ke kampung masing-masing mereka haruslah bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke universiti.

Katanya, dengan cara itu, mereka dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang ditimba terutama dalam badan beruniform bagi mengajak rakan mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah.


Sebahagian pengakap yang menyertai Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman.

“Lebih separuh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mereka terlibat dengan kegiatan rempit yang memberi masalah kepada masyarakat sekitar.

“Bagaimanapun, semua anak-anak di sini bernasib baik dapat menempatkan diri di IPT, bergelar mahasiswa dan dapat pula menyertai Pengakap. Mahasiswa haruslah sama-sama berfikir cara membantu golongan yang disebut tadi ke arah kehidupan yang lebih baik,” kata beliau ketika merasmikan pembukaan Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman, kelmarin (10 Jun).

Hadir sama, Rektor TATiUC Dr Mohd Rozailan Mamat dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dato’ Kaharudin Mo’min.

Seramai 220 Pengakap dari seluruh IPT menyertai perkhemahan dwi tahunan yang pertama kali diadakan di TATiUC sebagai kesinambungan dan keberkesanan program kepengakapan di peringkat IPT.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)