Halaman

17 June 2009

Penglibatan Peserta Rancakkan Projek TIDS

Oleh : SURIATI BINTI ALI


YB Rozi menunjukkan ikan air tawar yang siap dimasak pada Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir di Dataran Shahbandar. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Dana RM800,000 kepada 20 peserta projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar (TIDS) di Sungai Como, Tasik Kenyir, dijangka merancakkan lagi projek itu.

Pembiayaan pinjaman kepada peserta terpilih itu membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk menghasilkan makanan sejuk beku berasaskan ikan peliharaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Rozi Mamat, berkata buat permulaan, TIDS adalah projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan membabitkan kos RM50 juta. Projek berskala besar itu dilancarkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Jun 2006.

Bagi merancakkan projek, kerajaan negeri memilih 20 peserta yang berminat menjayakan program di bawah bimbingan Terengganu Agrotech Development Corprotion Sdn Bhd (TADC).

“Mereka bukan hanya diberi kemudahan pinjaman, malah turut ditawarkan tempat kediaman bertujuan membantu dan memberi semangat kepada peserta menjayakan program secara serius.

“Bagi meningkatkan pengetahuan, kursus berkaitan turut disediakan, termasuk kaedah menghasilkan makanan sejuk beku dan pelbagai jenis menu berasaskan ikan peliharaan,” katanya.

YB Rozi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir, di Shahbandar Kuala Terengganu, hari ini (16 Jun).

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu, termasuk pertunjukan dan pertandingan memasak, pameran dan gerai jualan.

YB Rozi berkata, TIDC memberi impak positif kepada peserta dan ekonomi negeri.
“Apa yang membanggakan, sehingga kini projek kelolaan TADC itu mampu menambah kira-kira 1,800 sangkar daripada 200 sangkar sejak dilancarkan,

“Setiap bulan, lebih 400,000 benih ikan iaitu tilapia, siakap dan patin dilepaskan dan hasilnya dipasarkan kepada pemborong tempatan, Kuala Lumpur, Johor dan terbaru di luar negara iaitu Singapura,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)