Halaman

24 June 2009

Kerajaan Perluas Kawasan Industri

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Toh diiringi Dato' Low melawat sekitar kilang Low Fat Wood Industries Sdn Bhd di Ajil. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri telah meluluskan kawasan tambahan bagi beberapa kawasan industri di negeri ini, memandangkan kawasan sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang diterima setakat ini.

“Ada permintaan dari syarikat-syarikat terutama membabitkan projek ECER untuk mermbuka kilang baru di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Low Fatt Wood Industries Sdn Bhd di Ajil, Hulu Terengganu petang semalam (22 Jun).

“Untuk mengembangkan lagi aktiviti industri serta mengukuhkan kedudukan dalam bidang industri kita perlu membuka lebih luas kawasan untuk memberi lebih banyak ruang kepada pengusaha dalam dan luar negeri melabur di sini,” katanya.

Sebagai contoh katanya, kawasan perindustrian Ajil Hulu Terengganu yang mendapat tambahan 15.66 hektar disamping kawasan sedia ada seluas 30 hektar dan 119 hektar di Wakat Tapai.

“Daerah Hulu Terengganu dan Marang mempunyai potensi besar dalam industri perkayuan dan banyak terdapat kilang-kilang papan di kedua-dua daerah itu, jadi kita bersedia berbincang untuk membantu pengusaha ini jika ada masalah berbangkit,” katanya.

Katanya kerajaan telah menetapkan, semua projek industri hendaklah dibangunkan di tapak industri yang disediakan dan pengusaha tidak boleh membina di merata tempat kerana akan mendatangkan impak yang kurang baik terutama pencemaran udara dan sebagainya.

Sementara itu dalam lawatan ke kilang papan Low fatt, YB Toh telah diberi taklimat oleh Pengarah Urusan Kumpulan Low Fatt Dato’ Low Ken Chuan mengenai pengurusan dan urusniaga kilang papan yang telah beroperasi sejak 1970 ini.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)