Halaman

26 June 2009

Projek ETP Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

KUALA TERENGGANU - 25 Jun 2009


YB Ahmad Razif melawat sekitar Taman Tema Bahasa Inggeris selepas merasmikannya di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Tanggungjawab sosial syarikat korporat bagi membantu kerajaan negeri meningkatkan tahap pendidikan pelajar di Terengganu tidak pernah terhenti apabila satu lagi Projek Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) yang kedua diwujudkan di negeri ini bertempat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Projek berharga RM350,000 sumbangan Exxonmobil Sdn Bhd mula digunakan sejak Februari sebagai platform terhadap sokongan memperpertingkatakan penguasaan Bahasa Inggeris (BI), selepas projek yang sama dibina di Kemasik, Kemaman enam tahun lalu.


Murid menggunakan kemudahan pembelajaran menyeronokkan di Taman Tema Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata ETP merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak yang sentiasa berusaha mencari pendekatan dan kaedah bagi meningkatkan tahap pencapaian BI di kalangan pelajar Terengganu.

“Usaha sebegini amat dialu-alukan di semua peringkat sebagai inisiatif mengadakan lebih banyak kemudahan bagi pelajar memperbaiki penguasaan BI yang menjadi kemahiran penting berdepan dengan dunia masa kini.

“Saya dimaklumkan projek ini sebagai satu inovasi dalam menangani isu penguasaan BI di kalangan murid di Terengganu dan berharap ia memberi pendekatan berbeza dalam proses mendapatkan ilmu kerana pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka,” katanya.


Suasana belajar yang seronok di Taman Tema Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman ketika merasmikan ETP Kuala Terengganu, di PKG Tok Jiring, hari ini (25 Jun).

Sementara itu, seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Ahmad Faizi Mohd Rahimi, 12, berkata pendedahan yang diberikan menerusi ETP amat berkesan kerana dia mula meminati BI dan terbukti dapat mempertingkatkan penguasaan dalam bahasa itu.

“Kesannya amat positif kerana keputusan mata pelajaran BI saya semakin meningkat dan baik sejak mengikuti aktiviti di ETP. Malah saya seronok mengikuti aktiviti di ETP,” kata murid yang menetap di Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu itu.

Manakala seorang lagi pelajar, Najla Safiqah Mat Saupi, 12, pula berazam untuk memperolehi keputusan cemerlang bagi subjek BI dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kelak.

Katanya, ETP banyak mendedahkannya serta rakan-rakan sebaya proses pembelajaran yang lebih menarik dan menghiburkan, malah menerusi ETP tahap keyakinan berkomunikasi dalam BI juga bertambah.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)