Halaman

25 June 2009

Pameran Pelaminan Malaysia Yang Unik

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Wan Abdul Hakim menepung tawar pasangan `pengantin' pada majlis perasmian Pameran Warna-warni Pelaminan Malaysia di Lembaga Muzium Bukit Losong.

Keris Melayu besi kursani,
pakaian tubuh pahlawan Betawi,
pelbagai pelamin berwarna warni,
silalah berkunjung datang lawati.

Begitulah pantun empat kerat yang dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib ketika merasmikan Pameran Warna-Warna Pelaminan Malaysia di Serambi Mandalika, Kompleks Muzium Bukit Losong Kuala Terengganu hari ini (22 Jun).

“Pameran edisi ketiga anjuran Lembaga Muzium Negeri kali ini mempunyai kelainan kerana ianya menampilkan satu dimensi yang jarang diperkatakan orang iaitu seni pelaminan,” katanya.

Teks beliau telah dibacakan oleh Timbalannya, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Katanya, pameran ini juga melibatkan adat istiadat sebahagian besar suku kaum di negeri dan Negara kita yang sememangnya unik serta mampu menarik ramai pengunjung untuk mengutip maklumat.

“Orang ramai dapat melihat pameran pelaminan masyarakat Melayu, Cina, Portugis, Punjabi, Iban, Baba Nyonya, Kadazan, Siam dan India yang mempunyai nilai dan jati diri budaya yang tersendiri,” katanya.

Katanya sifat saling memahami, berbudi bahasa dan toleransi antara kaum yang menjadi amalan selama ini mampu menyubur dan menyemarakkan lagi amalan budaya masing-masing dan inilah sebenarnya satu manifestasi kejayaan yang dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Saya yakin industri perandaman ini mampu memberi pulangan yang lumayan asalkan kita pandai mencari ruang yang sentiasa terhidang,” katanya.

Menurutnya, kemudahan sistem telekomunikasi seperti e-mail, facebook dan blog memudahkan penyampaian kita kepada pelanggan yang berada di seluruh dunia.

“Kaislah maklumat yang dipaparkan melalui pameran ini kerana disebaliknya mungkin terdapat ratusan intan yang mampu memberi info dan seterusnya menyinarkan aktiviti perniagaan sekaligus mampu memperkayakan seni dan warisan kita,” katanya.

Datuk Za’abar seterusnya meninggalkan pesanan, jangan sekali-kali hilangkan identiti, asas dan akar umbi budaya sendiri dalam keghairahan mengejar keuntungan yang berlipat ganda.

“Amatlah malang sekiranya seni warisan ini hilang dari pandangan kerana inilah satu-satunya aset kebanggaan untuk dipertontonkan kepada masyarakat luar tentang kehebatan, keunggulan dan kekreatifan pemikiran orang-orang kita,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)