Halaman

11 October 2009

UDA Mahu Bina Dua Terminal Bas Di Lembah Klang

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membina dua terminal bas utama di Lembah Klang bagi laluan Pantai Timur di Gombak dan laluan Utara di Jalan Ipoh.

Pengarah Urusannya Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, pihaknya telah membuat permohonan bertulis menyatakan hasrat untuk membina kedua-dua kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos antara RM50 juta dan RM60 juta itu.

"Jadi secara bertulisnya UDA Holdings telah memohon dengan menyatakan hasrat di mana surat mengenainya telah dihantar pada September lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya UDA Land (Timur) di sini, Khamis.

Jaafar berkata syarikat itu berhasrat untuk terlibat dari peringkat awal bagi memudahkan perancangan infrastruktur dibuat, termasuk penyediaan ruang niaga dan kemudahan lain yang diperlukan.

Katanya, pembinaan terminal berkenaan bukan hanya berfungsi setakat terminal bas semata-mata, malah turut ditekankan penyediaan peluang perniagaan untuk semua kaum.

"Mengambil contoh terminal di Puduraya, di situ kita wujudkan lebih kurang 104 ruang niaga atau vendor seperti tempat menjual akhbar dan sebagainya dan ini satu peluang perniagaan.

"Walaupun ia dilihat kecil-kecilan, tetapi ia boleh menghasilkan pendapatan lebih RM10,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata UDA Holdings juga ingin merebut peluang dalam bidang hartanah di Terengganu yang memperlihatkan kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat dan mampan.

Katanya, syarikat itu pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri beberapa kali bagi mendapatkan tanah-tanah untuk dimajukan dengan ruang-ruang perniagaan terutama untuk kaum bumiputera di negeri itu.

"Yang menjadi masalah sedikit ialah tanah terutama di Kuala Terengganu agak terhad selain mempunyai nilai yang sangat tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Melaka Tuan Rumah Kejohanan Terbesar Asia

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Gunung Asia Ke-15 dan Kejohanan Lumba Basikal Gunung Junior Asia pertama di Melaka pada 5 hingga 8 Nov ini. Dalam kenyataan Isnin, presidennya Abu Samah Abdul Wahab berkata ini merupakan kali kedua PKBM menjadi tuan rumah acara yang dianjurkan Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) itu.

Hutan Rekreasi Ayer Keroh, yang dahulunya dikenali sebagai Taman Botani Ayer Keroh, dikenal pasti sebagai venue bagi acara merentas desa, manakala acara menuruni bukit akan berlangsung di Bukit Beruang.

Kejohanan itu dijangka disertai pelumba dari 20 negara dan setakat ini, sembilan negara -- Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Iran dan Malaysia -- telah mengesahkan penyertaan.

"Kejohanan ini penting kerana ia bukan saja akan menentukan siapakah yang menjadi juara Asia, tetapi juga merupakan sebahagian daripada kejohanan peringkat benua di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang memberi peluang kepada penunggang mengumpul mata ranking," kata Abu Samah.

Beliau berkata kejohanan itu juga akan memberi pendedahan kepada penunggang basikal gunung tempatan berlumba dengan pelumba terbaik Asia.

"Melalui pendedahan yang secukupnya, kami boleh meningkatkan kesedaran tentang acara berbasikal gunung, yang belum banyak mendapat sokongan, walaupun ia mempunyai banyak peminat di seluruh negara," kata Abu Samah.

Kejohanan itu akan menjadi medan latihan bagi skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan berbasikal gunung pada Sukan SEA Laos Disember ini.

"Kami harap para pelumba kebangsaan akan mempamerkan prestasi membanggakan pada kejohanan ini. Kami ada juara Asia dan pelumba trek seperti Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin, yang telah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia. Oleh itu, bukan sesuatu yang mustahil bagi penunggang basikal gunung mencapai kejayaan serupa," katanya.

-- BERNAMA

Konsistensi Azizulhasni Cerahkan Peluang Malaysia Raih Emas Di London 2012

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Harapan Malaysia untuk meraih pingat emas pertama negara daripada Sukan Olimpik di London pada 2012 semakin cerah dengan kejayaan konsisten yang ditampilkan pelumba pecut, Azizulhasni Awang yang menjuarai kejohanan berbasikal trek Grand Prix Medellin di Colombia dua hari lepas.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang menyifatkan Azizulhasni kini 'anak emas' Malaysia berkata kementeriannya akan memberikan segala bantuan yang diperlukan pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu untuk terus melakar kejayaan.

"Azizulhasni merupakan ikon anak muda negara dan kini merupakan 'anak emas' Malaysia. Kejayaannya yang konsisten meyakinkan kementerian untuk mendapatkan satu emas dari Olimpik London," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Malaysia sebelum ini mensasarkan satu emas dari London menerusi pemain badminton perseorangan negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tetapi kemudian menambah sasaran kepada dua emas selepas kejayaan konsisten pasukan pelumba pecut negara yang diketuai oleh Azizulhasni.

Pada perlumbaan di Colombia, Azizulhasni mencatatkan 10.353 saat untuk mengatasi pelumba Belanda Teun Mulder yang mencatat 10.393s dan juara dunia, Gregory Bauge yang melakukan 10.445s.

Ahmad Shabery juga kagum dengan komitmen Azizulhasni yang kini berpangkalan di Melbourne, Australia, untuk ke kejohanan di Colombia itu seorang diri tanpa ditemani oleh jurulatihnya John Beasley.

Sejak memenangi pingat perak dalam acara 200 meter pecut pada Kejohanan Trek dunia di Poland pada Mac lepas, Azizulhasni yang kini menjadi pelajar Universiti Deakin di Melbourne, turut meraih dua emas pada acara 200 meter pecut individu dan pecut berpasukan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Kalimantan, Indonesia pada Ogos.

dipetik daripada BERNAMA ONLINE

KBS Cadang Namakan Gelanggang Dengan Nama Atlet Cemerlang

MARANG, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan akan membentangkan kertas cadangan ke Kabinet minggu depan untuk menamakan gelanggang dan kemudahan sukan yang ada dengan nama atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata cara itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada atlet di negara ini untuk lebih berusaha melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Di luar negara bukan satu perkara baru menamakan gelanggang atau venue sukan dengan nama-nama atlet yang masih hidup, namun belum diamalkan dalam konteks negara kita.

"Ini kerana ada peraturan sebelum ini yang kita tidak boleh menamakan bangunan atau tempat dengan nama orang yang masih ada, jadi kementerian akan membawa kertas cadangan ini ke Kabinet untuk menamakan kemudahan sukan dengan nama atlet berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat di Marang Waterfront anjuran Badan Perhubungan Umno negeri di sini hari ini. Ahmad Shabery berkata beliau telahpun memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat maklum balas positif.

Malah, beliau berkata atlet yang dimaklumkan tentang perkara itu juga seperti ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David serta pelumba basikal negara Mohd Azizulhasni Awang turut terharu dan menganggapnya sebagai satu perhormatan yang besar untuk mereka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Nicol yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia Wanita, sekali gus menjulang trofinya buat kali keempat Ahad lepas, Ahmad Shabery berkata KBS bercadang menamakan sebuah gelanggang utama di Pusat Skuasy negara di Bukit Jalil dengan nama Nicol.

Selain itu, sebuah sebuah velodrome mini di Dungun akan dinamakan dengan nama Mohd Azizulhasni.

-- BERNAMA

10 October 2009

Kerajaan Terengganu Sedia RM500,000 Untuk Persiapan Banjir

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan kira-kira RM500,000 sebagai persiapan menghadapi ancaman banjir di negeri itu tahun ini.

Pengarah JKM negeri Zulhami Omar berkata peruntukan itu bertujuan untuk membeli barang keperluan untuk mangsa-mangsa banjir nanti.

"Bagaimanapun peruntukan itu akan ditambah jika keadaan memerlukan," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata JKM menyediakan keperluan asas, antaranya, beras (2,050 kampit), ikan sardin (4,968 tin), gula (2,668 kampit), selain menyediakan selimut, tikar dan tuala.

Barang-barang tersebut akan dihantar ke 118 pusat pangkalan hadapan di seluruh negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang sukar sampai dalam masa terdekat ini.

"Kita dahulukan penghantaran ke pulau-pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan juga kawasan-kawasan hulu yang sukar sampai semasa banjir," katanya.

Beliau berkata tahun ini 324 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 50,000 mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Zulhami berkata di Terengganu musim tengkujuh yang biasanya membawa ancaman banjir berlaku mulai November hingga Mac setiap tahun.

JKM negeri juga akan membekukan cuti pegawai-pegawainya apabila berlaku banjir, katanya.

-- BERNAMA

Perhilitan Pandang Serius Ancaman Gajah Di Dungun

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengkategorikan gajah-gajah di beberapa kawasan di Dungun sebagai satu ancaman serius dan haiwan berkenaan perlu ditangkap.

Pengarah Perhilitan negeri Rozidan Md Yasin berkata terdapat tiga kawasan di daerah Dungun yang mengalami konflik ancaman gajah iaitu sekitar Kuala Jengai, Kampung Raja dan Ulu Kongsi.

Katanya Perhilitan negeri mengenalpasti terdapat antara 10 sehingga 15 ekor gajah yang sering mengganggu kawasan berkenaan.

Sepanjang tahun ini, Perhilitan menerima empat aduan berhubung kejadian haiwan itu merosakkan tanaman penduduk di kawasan itu, katanya.

"Usaha menangkap gajah ini masih belum menunjukkan kejayaan berikutan kurang kerjasama dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan cepat. Sekiranya serangan gajah liar berlaku, kita harapkan penduduk memaklumkan secepat mungkin kepada kita untuk tindakan segera," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Rozidan berkata demikian ketika diminta mengulas kegelisahan penduduk di beberapa buah kampung di Dungun yang mengalami kerugian ribuan ringgit berikutan tanaman pisang, ubi kayu, tebu dan getah yang diusahakan mereka dimusnahkan gajah liar, dengan serangan terbaru berlaku awal minggu ini.

Selain Dungun, beliau berkata gangguan gajah sering berlaku di empat daerah lain iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. Di kebanyakan tempat gangguan adalah kerap dan berulang.

Rozidan berkata sehingga pertengahan Oktober tahun ini, Perhilitan berjaya memindahkan 11 ekor gajah dari kawasan konflik iaitu di Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

-- BERNAMA

Terengganu Anjur Kejohanan Ping Pong Utk Pemain Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 7 Okt (Bernama) -- Persatuan Ping Pong Terengganu buat julung kalinya akan menganjurkan Kejohanan Ping Pong Terbuka Terengganu yang menampilkan pemain dari negeri-negeri di pantai timur bermula 22 hingga 24 Okt ini.

Setiausaha PPT Mohamed Taib berkata matlamat kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk merebut Piala Datuk Rahin Mohd Said itu adalah untuk menguji pemain-pemain yang akan mewakili negeri-negeri di pantai timur ke Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka tahun depan.

" Inilah satu gelanggang terbaik bagi negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu untuk melihat pencapaian atlet masing-masing sebelum Sukma bermula," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM10,000 terbahagi kepada empat kategori iaitu berpasukan lelaki, perseorangan lelaki, perseorangan wanita serta beregu wanita, dan kejohanan itu akan diadakan di Dewan Persatuan Ping Pong Terengganu, Bukit Jong, Jalan Kelantan di sini.

Mohamed berkata bayaran penyertaan ialah RM50 untuk acara berpasukan, perseorangan RM5 dan beregu RM8 seorang dan bayaran boleh dibuat sebelum tarikh tutup penyertaan 12 Okt ini kepada setiausaha atau penolong setiausaha persatuan.

Penyertaan boleh dibuat melalui borang khas yang disediakan dan borang itu boleh dihantar kepada Mohamed di alamat 11439 Depan Kuari Bukit Jong, Jalan Kelantan atau Mohd Rizal Ghazali, D-565, Kampung Paloh Sungai Kiat atau melalui Persatuan Ping Pong Terengganu.

-- BERNAMA

RM100 Juta Atasi Masalah Banjir Seluruh Negara

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan kira-kira RM100 juta tahun ini bagi memantapkan sistem penyelenggaraan dan menangani masalah banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup berkata peruntukan itu merupakan yang pertama kali disalurkan bagi tujuan itu di bawah program rangsangan ekonomi negara.

"Ia juga untuk mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada parit dan longkang yang tersumbat di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integrasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) 2009 di sini, Selasa.

Beliau berkata sebanyak RM7 juta daripada peruntukan itu disalurkan ke Terengganu untuk urusan penyelenggaraan.

Kurup berkata JPS akan mengadakan program turun padang bagi memantau sistem saliran di seluruh negara mulai 15 Okt ini sebagai persediaan awal bagi mengenalpasti kawasan yang mempunyai masalah sistem saliran dalam usaha membendung banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Inovasi yang dimenangi JPS Pulau Pinang, Anugerah Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja kepada JPS Selangor, Anugerah Teknologi Maklumat Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri yang dimenangi JPS Terengganu.

Anugerah Kualiti Pengurusan Projek Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri pula dimenangi JPS Selangor dan Anugerah Kualiti Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri dimenangi JPS Pulau Pinang.

-- BERNAMA

09 October 2009

Mohd Ayub Telah Dibenarkan Pulang

Kuala Terengganu - 7 Oktober 2009 (RABU)

Setelah lebih seminggu berada di Kuala Lumpur, kini Mohd Ayub telah dibenarkan pulang.

Mohd Ayub 7 tahun, yang telah menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur kini telah dibenarkan pulang pada pagi 7 Oktober 2009.

Mohd Ayub telah dibawa balik ke Kuala Terengganu dengan kenderaan yang disediakan oleh pejabat YAB Menteri Besar Terengganu.

Ketibaan Mohd Ayub di rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang hari yang sama telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh keluarga dan sanak-saudaranya.

UKOM
_________________________

Timur: Murid selamat bedah jantung

Pusat perubatan tanggung kos bedah, kerajaan Terengganu bayar ubatan


KUALA LUMPUR (BERITA HARIAN ONLINE): Impian Mohd Ayub Mansor, 7, untuk hidup normal seperti rakan sebaya lain akhirnya menjadi kenyataan apabila selamat menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, Rabu lalu.

Kos pembedahan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu itu dibiayai sepenuhnya pusat perubatan berkenaan, manakala Kerajaan Terengganu menaja kos ubatan, makan minum, pengangkutan dan penginapan ibu bapa kanak-kanak itu sepanjang menjalani rawatan di ibu negara.

Ibu Mohd Ayub, Hariati Mohd Fauzi, 33, berkata anaknya dikesan menghidap jantung berlubang sejak kecil namun disebabkan kemiskinan keluarga, Mohd Ayub hanya menjalani pembedahan jantung, Rabu lalu selepas kisahnya disiarkan media.

“Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan kerana suami, Mansor Embong, 39, hanya bekerja sebagai jurujual alat ganti, manakala saya tidak bekerja. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana penderitaan Mohd Ayub mendapat perhatian Kerajaan Terengganu, khususnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

“Selepas ini, saya berharap kehidupan Mohd Ayub lebih ceria dan aktif. Sebelum ini, dia tidak boleh begitu aktif atau lasak sebab akan cepat penat. Saya sudah tidak sabar untuk melihat dia kembali ke sekolah,” katanya ketika menerima kunjungan Ahmad di pusat perubatan berkenaan, semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri pada mulanya bersetuju membiayai kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi pakar jantung Pusat Perubatan Prince Court, Dr David Khoo Sin Keat menawarkan Mohd Ayub dibedah di pusat perubatan itu yang turut menanggung kos pembedahan.

“Jadi, kita bantu dari segi kos rawatan susulan seperti kos ubatan dan berkaitan yang jumlahnya bergantung kepada keperluan kes berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan negeri akan membantu seorang lagi kanak-kanak dari Kampung Lubuk Lesung, Terengganu menjalani pembedahan jantung, selepas ini.

WDI jadi lokasi penerjun antarabangsa

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Penerjun `KL Tower International Jump Malaysia 2009' menunjukkan aksi terjun dari atas bangunan Wisma Darul Iman iaitu bangunan pentadbiran negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Bangunan pusat pentadbiran negeri Wisma Darul Iman (WDI) turut menjadi lokasi pilihan 15 penerjun antarabangsa untuk mempamerkan aksi masing-masing sempena `KL Tower International Jump Malaysia 2009’.

Aktiviti mencabar bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu berjaya dilakukan tanpa sebarang kecederaan dengan disaksikan lebih 500 kakitangan WDI dan pelajar sekolah sekitar Kuala Terengganu.


Dato' Mazlan Ngah memalu gong merasmikan KL Tower International Jump 2009 di perkarangan Wisma Darul Iman.

Sebelum melakukan terjunan, peserta diberi latihan dan taklimat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

WDI yang mempunyai ketinggian 107 meter menjadi lokasi kedua penerjun selepas Kompleks Teruntum, Pahang.



Program berlangsung selama 23 hari bermula 3 Oktober lalu berjaya memikat hati penonton kerana turut disertai penerjun profesional tempatan.

Selain bangunan WDI, aktiviti seumpama itu turut dipertontonkan kepada orang ramai di Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu sebelum bertolak destinasi seterusnya iaitu di Menara Taming Sari, Melaka.



Lokasi terakhir penerjun adalah di Menara Kuala Lumpur pada 25 Oktober. Sehingga hari ini lebih 100 peserta pelbagai negara mendaftarkan diri untuk membuat terjunan di menara tertinggi di Asia.

UKOM