Halaman

11 October 2009

UDA Mahu Bina Dua Terminal Bas Di Lembah Klang

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membina dua terminal bas utama di Lembah Klang bagi laluan Pantai Timur di Gombak dan laluan Utara di Jalan Ipoh.

Pengarah Urusannya Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, pihaknya telah membuat permohonan bertulis menyatakan hasrat untuk membina kedua-dua kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos antara RM50 juta dan RM60 juta itu.

"Jadi secara bertulisnya UDA Holdings telah memohon dengan menyatakan hasrat di mana surat mengenainya telah dihantar pada September lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya UDA Land (Timur) di sini, Khamis.

Jaafar berkata syarikat itu berhasrat untuk terlibat dari peringkat awal bagi memudahkan perancangan infrastruktur dibuat, termasuk penyediaan ruang niaga dan kemudahan lain yang diperlukan.

Katanya, pembinaan terminal berkenaan bukan hanya berfungsi setakat terminal bas semata-mata, malah turut ditekankan penyediaan peluang perniagaan untuk semua kaum.

"Mengambil contoh terminal di Puduraya, di situ kita wujudkan lebih kurang 104 ruang niaga atau vendor seperti tempat menjual akhbar dan sebagainya dan ini satu peluang perniagaan.

"Walaupun ia dilihat kecil-kecilan, tetapi ia boleh menghasilkan pendapatan lebih RM10,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata UDA Holdings juga ingin merebut peluang dalam bidang hartanah di Terengganu yang memperlihatkan kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat dan mampan.

Katanya, syarikat itu pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri beberapa kali bagi mendapatkan tanah-tanah untuk dimajukan dengan ruang-ruang perniagaan terutama untuk kaum bumiputera di negeri itu.

"Yang menjadi masalah sedikit ialah tanah terutama di Kuala Terengganu agak terhad selain mempunyai nilai yang sangat tinggi," katanya.

-- BERNAMA