Halaman

11 October 2009

KBS Cadang Namakan Gelanggang Dengan Nama Atlet Cemerlang

MARANG, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan akan membentangkan kertas cadangan ke Kabinet minggu depan untuk menamakan gelanggang dan kemudahan sukan yang ada dengan nama atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata cara itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada atlet di negara ini untuk lebih berusaha melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Di luar negara bukan satu perkara baru menamakan gelanggang atau venue sukan dengan nama-nama atlet yang masih hidup, namun belum diamalkan dalam konteks negara kita.

"Ini kerana ada peraturan sebelum ini yang kita tidak boleh menamakan bangunan atau tempat dengan nama orang yang masih ada, jadi kementerian akan membawa kertas cadangan ini ke Kabinet untuk menamakan kemudahan sukan dengan nama atlet berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat di Marang Waterfront anjuran Badan Perhubungan Umno negeri di sini hari ini. Ahmad Shabery berkata beliau telahpun memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat maklum balas positif.

Malah, beliau berkata atlet yang dimaklumkan tentang perkara itu juga seperti ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David serta pelumba basikal negara Mohd Azizulhasni Awang turut terharu dan menganggapnya sebagai satu perhormatan yang besar untuk mereka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Nicol yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia Wanita, sekali gus menjulang trofinya buat kali keempat Ahad lepas, Ahmad Shabery berkata KBS bercadang menamakan sebuah gelanggang utama di Pusat Skuasy negara di Bukit Jalil dengan nama Nicol.

Selain itu, sebuah sebuah velodrome mini di Dungun akan dinamakan dengan nama Mohd Azizulhasni.

-- BERNAMA