Halaman

10 August 2010

Ahmad Said Nafi Pilih Lokasi IJN Di Kijal Sebab Beliau Anak Jati Kawasan

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya pemilihan lokasi penempatan Institut Jantung Negeri (IJN) Terengganu di kawasan Kijal, Kemaman adalah kerana beliau merupakan anak jati kawasan itu.

Ahmad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menjelaskan pemilihan lokasi itu dilakukan kerana kerajaan negeri telah membeli sebuah resort di Kijal yang dikenali sebagai Strawbery Park dengan harga murah iaitu RM27 juta berbanding harga asal RM65 juta.

"Resort berada di tepi pantai dan tasik, sesuai dengan konsep pelancongan kesihatan, bukan kerana saya orang Kijal," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata resort itu kini dalam proses pengubahsuaian terutama untuk dewan bedah dan beberapa kemudahan lain.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang), beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk dapatkan dana bagi membeli peralatan dan mesin untuk pusat jantung itu.

Menurutnya IJN itu bakal beroperasi secara serampang dua mata iaitu membantu rakyat Terengganu yang miskin merawat penyakit tersebut dan menjana pendapatan melalui perkhidmatan kepada rakyat negeri lain khususnya di Pantai Timur.

-- BERNAMA

TEGANUKITA

Peluang Seribu Pelajar Miskin Ke UiTM, Chendering

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menempatkan kira-kira 1,000 pelajar Terengganu yang miskin dan kurang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 mengikuti program Pra Sains dan Pra Perdagangan di Kampus UiTM, Chendering bermula Disember ini.

Pelajar lepasan SPM yang kurang yakin mampu memperolehi keputusan yang baik dan berjaya menempatkan diri ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam akan ditawarkan mengikuti program tajaan UiTM dan Yayasan Terengganu itu dalam tempoh enam bulan hingga setahun sebelum berpeluang menyambung pengajian dalam bidang tertentu berdasarkan prestasi ketika mengikuti program berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sentiasa merangka usaha bagi memastikan anak Terengganu yang miskin dan tidak begitu cemerlang dalam SPM meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang merangka satu program khusus berbentuk kemahiran kepada pelajar lepasan SPM yang tidak cemerlang menerusi mekanisma yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Selain itu, sebagai mengiktiraf peranan guru yang menjadi tulang belakang kejayaan pelajar Terengganu, kerajaan negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cendera hati berbentuk `pendrive’ kepada kira-kira 22,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu.

“Suatu pengiktirafan kerajaan negeri kepada guru-guru yang telah menaikkan imej Kerajaan Terengganu sebagai `negeri anjung ilmu’. Saya berjanji kepada semua guru-guru, sekiranya Terengganu muncul juara dalam kempat- empat kategori UPSR, PMR, SPM dan STPM saya akan turun ke daerah-daerah untuk berjumpa dengan 22 ribu orang guru seluruh Terengganu.

“Semasa itu saya tidak janjikan apa-apa, tetapi selepas memikirkan kejayaan kita ini, peranan guru begitu besar dan menunjukkan hala tuju modal insan, kerajaan negeri memikirkan apa cenderahati paling sesuai yang boleh digunakan dan kita sediakan dalam reka bentuk khas,” kata beliau selepas menyampaikan cenderahati kepada guru seluruh Marang, di Kantin Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang, kelmarin (7 Ogos).

Menteri Besar menemui 1,966 guru bagi menyampaikan cenderahati berkenaan dan merupakan pertemuan kedua selepas menemui lebih 3,000 guru di majlis yang sama di Kemaman.

Dato' Seri Ahmad berkata, cenderahati itu sebagai kesinambungan kepada usaha memastikan Terengganu bukan sahaja muncul sebagai `negeri anjung ilmu’, bahkan menjadikan program `201052’ sebagai sasaran pencapaian empat peperiksaan utama tahun depan itu menjadi kenyataan.

“Kita hendak pastikan kita terus berjaya dan semua pihak terlibat kita perlu motivasikan mereka. Pelajar sudah ada motivasi termasuk pengiktirafan yang mendapat 5A mendapat hadiah, memasukkan nama pelajar yang berjaya dalam akhbar dan sebahagian terpilih ke asrama penuh dan sekolah elit, begitu juga pengiktirafan kepada guru besar yang dapat membuat lompatan saujana di mana kita akan hantar mereka menyertai lawatan sambil belajar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menghantar 50 guru besar dari sekolah yang menunjukkan prestasi terbaik dan berjaya melakukan lompatan saujana untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke Melbourne, Australia bagi melihat sistem pembelajaran yang mampu memberi motivasi untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat terus dipertahankan.

TEGANUKITA

09 August 2010

Sekitar Dewan Undangan Negeri Ke-12 ( Hari pertama)

Oleh: Esah Abdulah, Suriati Ali dan Wan Haironniza Wan Naim.



Sekolah sukan Gong Badak diteruskan

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, YB Rozi Mamat memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini (8 Ogos) bahawa kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan sekolah sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau berkata, pembinaan sekolah itu penting bagi Terengganu bagi mencungkil bakat pelajar kerana sekolah sukan sedia ada iaitu Sekolah Bukit Nenas, banyak memberi kejayaan dan melahirkan atlit berwibawa serta berkualiti.

“Untuk tujuan sama, kerajaan negeri bukan hanya memberi penumpuan terhadap sekolah sukan, malah sekolah aliran biasa turut diambil cakna, termasuk Sekolah Menengah Padang Midin yang melahirkan pemain hoki disegani,” katanya ketika menjawab soalan, Encik Ramlan Ali (BN-Jabi).





YB Rozi berkata, kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka, baru-baru ini adalah hasil kesinambungan kerajaan negeri yang berusaha keras untuk membuktikan sukan itu menjadi milik Terengganu buat kali kedua.

Katanya, kejayaan berturut-turut itu juga membuktikan Terengganu memiliki atlit berkualiti sekaligus menjadi negeri terbaik dalam bidang sukan.

“Bagi meneruskan kejayaan ini, pihak berkaitan menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan perkara remeh dengan kadar segera selain kebajikan atlit dapat dipertingkatkan.

“Insentif yang diagihkan mengikut kutipan pingat turut menjadi faktor negeri ini terus cemerlang berikutan golongan belia bertambah semangat untuk bergiat cergas dalam apa jua sukan yang pertandingkan,” katanya.

Katanya, peruntukan kewangan RM10,000 di setiap daerah telah diagihkan bagi membolehkan mana-mana persatuan aktif menganjurkan aktiviti berfaedah.

“Program terbaru iaitu Karnival Futsal, bakal dianjurkan selepas Aidilfitri nanti dengan membabit kos RM30,000 bagi setiap daerah di mana Kementerian Belia dan Sukan menyumbang sebanyak RM20,000 dan kerajaan negeri (RM10,000),” katanya.

Terengganu bakal tambah stesen NGV



Kerajaan negeri sedang mengenal pasti tapak sesuai untuk membina stesen gas asli (NGV) di Kerteh dan Kuala Terengganu, bagi memudahkan penggunanya terutama pemandu kenderaan pengangkutan awam seperti teksi dan kereta sewa di negeri ini mendapatkan bekalan bahan itu.

Menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Sura), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri sedang membantu Petronas mengenal pasti tapak sesuai untuk membuka sekurang-kurangnya tiga lagi stesen NGV di mana pada masa ini hanya ada satu di negeri iaitu di Teluk Kalong, Kemaman.

Menjawab soalan tambahan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) mengenai jumlah stesen NGV yang terlalu sedikit di negeri ini sedangkan Terengganu adalah pengeluar gas cecair berkenaan, Mohamed berkata, kadar pengguna yang tidak ramai menyebabkan kerajaan tidak bercadang membuka lebih banyak stesen NGV.

“Memang kita ada perancangan untuk tambah bilangan stesen NGV ini walaupun tidak banyak. kos pembinaannya lebih tinggi daripada stesen minyak biasa, kita tetap merancang menambah bilangannya bagi memudahkan penggunanya mendapatkan bekalan.

“Walaupun penggunaan NGV lebih menguntungkan kerana harganya jauh lebih rendah daripada petrol biasa iaitu pada kadar 68 sen seliter berbanding RM1.85 bagi seliter petrol, tetapi kos pemasangan alat ini yang terlalu mahal menyebabkan tidak ramai mahu menggunakannya, kecuali pengusaha pengangkutan awam seperti teksi dan kereta sewa.

“Kerajaan negeri sedang bantu Petronas mengenal pasti tapak, tetapi belum dapat tanah lagi. Mungkin kalau Wakaf Mempelam ada tanah boleh cadangkan pada kita,” katanya.

Exco Cadang Hospital Besut Dinaiktaraf

Kerajaan negeri meminta kemudahan untuk ibu bersalin di Hospital Besut (HB) dinaiktaraf bagi mengelakkan ibu-ibu dari negeri ini bersalin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kelantan.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar, berkata langkah itu bertujuan mengelakkan bayi yang dilahirkan di HUSM mendapat status anak kelahiran Kelantan.

“Ini akan menyukarkan anak tersebut menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan negeri kepada mereka kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan Haji Muhammad Pehimi Yusof (BN-Kota Putera) pada Mesyuarat kedua Penggal Ketiga Bagi Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12, hari ini (8 Ogos).

Katanya, berdasarkan perangkaan tiga tahun berturut-turut, daripada sejumlah 2,726 kes kelahiran yang dirujuk di HB pada 2007, sebanyak 560 kes terpaksa dirujuk di HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana pelbagai komplikasi.

Beliau berkata, pada tahun 2008, sejumlah 2,608 kes dirujuk di hospital yang sama dan 386 kes dirujuk di kedua-dua hospital berkenaan manakala tahun lalu daripada sejumlah 2,525 kes di HB, 377 kes dirujuk sama ada ke HUSM atau Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Walaupun kes ini semakin menurun, namun kerajaan ingin memastikan status kelahiran anak Terengganu dikekalkan bertujuan mendapat pelbagai keistimewaan,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menggesa kementerian agar pakar perubatan ditempatkan di HB dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sejajar dengan cadangan untuk menaiktaraf hospital itu.

“Langkah itu secara tidak langsung memudahkan ibu mengandung terutama yang mengalami komplikasi dapat dirawat segera,” katanya.

TEGANUKITA

MB KINI BERGELAR DATO’ SERI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Tujuh penerima hari ini dianugerahkan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-48 Sultan Terengganu Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin pada istiadat yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu pagi ini (5 Ogos 2010).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada istiadat itu, Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud menerima Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Haji Ahmad Said menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang juga membawa gelaran Dato’ Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah pula dianugerahkan Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z.) yang membawa gelaran Dato’.

Empat orang dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato’.

Mereka adalah Mufti Terengganu Dr Alias Abdullah, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Osman Muda, pegawai pejabat Sultan Terengganu Mohd Yasin Awang dan seorang peguam Zamani Mohamad.

TEGANUKITA

04 August 2010

3 Juta Tan Metrik Bijih Besi Berkualiti Bakal Dimajukan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu mengenalpasti tiga kawasan utama yang kaya dengan bijih besi berkualiti tinggi di Bukit Besi yang mampu menghasilkan tiga juta tan metrik untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan negeri tidak lama lagi.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said berkata ketiga-tiga kawasan yang terletak di Bukit Besi itu merangkumi keluasan lapan kilometer persegi di Sri Bangun, Burnt Hill dan Main Pit yang berpotensi mengeluarkan bijih besi berkualiti tinggi dikenali sebagai magnetit

"Mengikut kajian yang dibentang oleh syarikat perunding dilantik oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) kita ada lebih kurang tiga juta (tan metrik) magnetit iaitu bijih besi yang kualiti tinggi dan tidak termasuk parotit yang berkualiti rendah iaitu di bawah 50 peratus (kandungan besi).

“Kita sedang melihat bentuk teknologi yang boleh kita gunakan untuk keluarkan bijih besi ini dengan kos yang efektif dan berkesan serta tidak melibatkan pelaburan yang terlalu besar,” katanya ketika sidang media selepas meninjau sekitar kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi , Dungun, semalam (2 Ogos). Turut hadir, Pengarah JMG Terengganu, Haji Mohamad Pauzi Abdullah.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menerima tawaran daripada syarikat perlombongan bijih besi yang besar di seluruh negara untuk memajukan kawasan berkenaan dengan membuka kilang di situ.

"Bagaimanapun, kita masih belum membuat keputusan syarikat yang mahu dipilih kerana kita mahu supaya keputusan yang terbaik serta dapat memberi keuntungan kepada kerajaan dan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan beberapa syarikat untuk membeli mesin khas yang paling sesuai untuk kerja pemprosesan bagi mengasingkan bijih besi dan pasir terlebih dahulu.

Berdasarkan kajian JMG, kawasan berkenaan mempunyai tiga juta tan metrik bijih besi yang berkualiti tinggi antara 62 peratus hingga 64 peratus besi dengan nilai jualan antara US$130 dan US$140 setan metrik.

"Bagaimanapun, kita tidak akan mengeksport bijih-bijih berkenaan dalam bentuk itu kerana kita mahu memproses sehingga kualiti bijih besi lebih baik dan mampu mencapai 75 peratus atau 80 peratus. Harganya berbeza jauh kerana dengan 80 peratus kita boleh mencapai dengan nilai US$200 bagi setiap satu tan metrik," katanya.

Beliau berkata, satu syarikat Jepun telah mengeluarkan bijih besi di kawasan berkenaan dari 1923 hingga 1945 dan diikuti syarikat British yang memonopoli pengeluaran di kawasan itu dari 1950 hingga tahun 1971.

Berdasarkan rekod, syarikat Jepun dan British berkenaan telah mengeluarkan kira-kira 50 juta tan metrik bijih besi sepanjang 1923 hingga 1971.

TEGANUKITA

Kibar Jalur Gemilang 1 Ogos hingga 16 September

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengajak generasi muda mengenang keperitan generasi terdahulu yang berkorban untuk membebaskan negara dari tangan penjajah sekaligus berjaya membawa kemajuan serta keamanan yang akhirnya dapat dinikmati semua golongan dan bangsa hari ini.

Beliau juga menasihatkan supaya kesinambungan perjuangan itu diteruskan lagi dengan memberi sokongan kepada warisan kepimpinan yang menerajui negara kini.

Sokongan itu kata beliau dapat diterjemahkan juga dengan menghayati Hari Kemerdekaan Negara tanggal 31 Ogos 1957 dengan mengibarkan Jalur Gemilang di pejabat mahupun seluruh premis.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran pengibaran Jalur Gemilang peringkat Terengganu, di Taman Awam, Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam ( 1 Ogos).

Turut hadir isteri beliau, To’ Puan Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Pelancaran semalam juga bermakna bermulanya perayaan Bulan Kemerdekaan yang merangkumi pelbagai pengisian dan aktiviti berteraskan semangat patriotik yang dapat melahirkan rakyat Malaysia yang cintakan negara serta bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat pembangunan dan keamanan dikecapi kini.

“Saya berharap supaya semua ketua jabatan, badan berkanun, pihak swasta peringkat negeri, daerah serta kumpulan serta orang perseorangan akan mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan, premis perniagaan, kediaman, kenderaan di seluruh Terengganu dalam tempoh sambutan perayaan Bulan Kemerdekaan selepas pelanacaran ini,” kata beliau lagi.

Menteri Besar kemudiannya merasmikan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan pengibaran Jalur Gemilang, diikuti penyerahan bendera kepada pegawai daerah seluruh Terengganu.

TEGANUKITA

Wan Nor Habibah, Nurul Amira Graduan Cemerlang IQ Ke-3

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Graduan IQ Terengganu gembira selepas majlis Graduasi yang diadakan di Taman Tamadun Islam.- Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menjadikan al-Quran sebagai keutamaan berbanding tugasan lain menjadi tunggak kecemerlangan Wan Nor Habibah Wan Hussin, 20, sehingga berjaya menerima Anugerah Asim al-Kufi sempena Majlis Graduasi Institut al-Quran (IQ) Terengganu kali ke-3, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini (1 Ogos).

Pelajar program Syahadah Tahfiz al-Quran dari Kampung Gong Kepas, Besut itu mula menimba ilmu di IQ sejak berusia 16 tahun dan dalam tempoh dua tahun dia sudah mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran setahun lebih cepat berbanding rakan sebaya yang lain.


YB Khazan ketika merasmi dan menyampaikan sijil dan Diploma kepada pelajar IQ Terengganu.

Kelebihan itu juga menyebabkan anak kedua daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup pasangan Wan Hussin Wan Daud, 46 dan Sharifah Khatijah Syed Abu Bakar, 40, bakal meneruskan pengajian dalam bidang Ekonomi Islam di Jordan, September ini.

Sementara penerima Anugerah Nafie’ al-Madani daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran, Nurul Amira Malek, 21, juga menjadikan al-Quran sebagai rujukan seharian.

“Pada awal memasuki IQ saya agak tertekan kerana terdapat subjek seperti Qiraat yang saya sukar fahami dan tiada asas mengenainya, namun berkat kesabaran serta dorongan keluarga saya kuatkan semangat selain sentiasa berdoa sehingga mampu menempa kejayaan dari semester kedua dan berikutnya sehingga semester akhir,” kata penuntut berasal dari Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu itu.

Anak sulung dari empat beradik pasangan Malek Mustaffa, 42, dan Zaleha Omar, 40, akan melanjutkan pelajaran dalam pengajian Usuluddin di Jordan pada 15 September ini.



Selain Wan Nor Habibah dan Nurul Amira, seramai 37 lagi penuntut turut menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah IQ, Dr Ahmad Bazli Shafie.

Haji Kazan yang menyampaikan teks ucapan Menteri Besar berkata, penubuhan IQ adalah satu usaha terbaik kerajaan untuk menyediakan modal insane yang berteraskan al-Quran.



Kini, usaha mula giat dijalankan untuk menaik taraf IQ menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang berteraskan pengajian al-Quran.

“Sebagai sebuah IPT kelak, IQ harus lebih kompetitif dan mampu menarik lebih ramai tenaga akademik serta pengurusan yang berkaliber dengan tawaran dan insentif yang lebih menarik.



“Pucuk pimpinan kerajaan negeri sentiasa beriltizam menyokong usaha ini dengan menyediakan dana dan prasarana pendidikan yang moden,” kata beliau.

TEGANUKITA

02 August 2010

Jadikan ubi gadong makanan harian

Oleh: Esah Abdullah

Tidak mustahil suatu hari orang ramai memilih tepung ubi gadong untuk membuat kuih muih sebagai ganti tepung gandum jika apa yang dirancang hari ini menjadi kenyataan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said melahirkan keyakinannya bahawa ubi gadong berpotensi menjadi produk makanan utama seperti gandum jika dihasilkan mengikut permintaan pasaran seperti kek, kerepek dan kuih muih lainnya.

“Saya yakin jika ada usaha ke arah mengkomersialkan ubi gadong dan dengan bantuan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang menjalankan penyelidikan mereka,” katanya, di majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadong UnisZA dan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, kerajaan bersedia memberi peruntukan RM2 juta kepada UnisZA secara berperingkat untuk meneruskan kajian terhadap potensi tanaman tersebut selama dua tahun sebelum ia dipasarkan.

“Setakat ini tiada perancangan penanaman secara besar-besaran, namun projek perintis ini akan ditanam secara pertanian ladang dengan kerjasama Jabatan Pertanian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, untuk peringkat permulaan UnisZA perlu menghasilkan produk yang mampu dijual bagi membolehkan ia dikenali pengguna.

Dalam majlis itu, Menteri Besar menjadi saksi kepada pertukaran MoU antara kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan UnisZA diwakili Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Alias Daud.

Dato’ Ahmad turut mengumumkan pemberian insentif RM30,000 kepada enam pelumba Formula Future Terengganu yang berjaya menjadi juara dalam kejohanan Formula Future Kebangsaan yang diadakan di Taman Botani, Putrajaya baru-baru.

“Setiap seorang akan menerima RM5,000 dan enam daripada 10 pelumba Negara adalah peserta kita yang terpilih mewakili Malaysia ke Kejuaraan Formula Future Dunia di Liverpool, England bermula 13 hingga 15 Ogos ini,” katanya.

Menteri Besar juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan 10 kiosk yang akan dikenali dengan nama JR Best (Jagung Rakyat Best) bagi menjual hasil jagung tempatan seperti jagung rebus dalam bentuk bijian dan air jagung .

“Kerajaan peruntukan RM80,000 dimana setiap kiosk berharga RM8,000 dan akan memilih belia-belia yang berminat untuk bekerja di kiosk dan akan mula beroperasi selepas Hari Raya Aidilfitri depan,” katanya.


TEGANUKITA

30 July 2010

Ibu Tunggal Berjaya Didik Sembilan Anak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 4, Binjai, Kemaman berjaya membesar dan mendidik sembilan cahaya mata sehingga enam daripadanya berjaya melanjut pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya yang baik walaupun wanita itu hanya bersandarkan pendapatan hasil kedai runcit kecil-kecilan berhampiran rumah.

“Mak cik selalu pesan anak-anak jangan tinggal sembahyang dan mereka sejak kecil memang menghormati saya dan arwah suami serta orang tua. Dengan sikap sedemikian mereka membesar dengan baik dan beroleh keberkatan dalam hidup,” kata Kiah @ Saadiah Talib, 64, selepas menerima Anugerah keluarga Mithali Terbilang 2010 Parlimen Kemaman, di Awana Kijal, Kemaman, kelmarin 27 Julai .

Kiah berkata, walaupun kematian suami yang mengidap barah hati pada 30 September 2007, dia tidak menganggap kehilangan tunggak keluarga itu sebagai penghalang untuk terus mengecap kebahagian bersama anak-anak yang sudah dewasa dan enam daripadanya bekeluarga.

Nenek kepada 15 cucu itu berkata, kesemua anak-anaknya sering mengambil berat dan saling membantu antara satu sama lain sekaligus menguatkan lagi hubungan mereka sekeluarga dan setiap masalah yang melanda keluarga mereka dapat diatasi dengan baik.

Menurutnya, walaupun hidup mereka sejak dulu hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu melalui perniagaan kuih sebelum beralih menjual barangan runcit di kedai yang dibina berhampiran rumah, mereka tetap mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak berserah nasib kepada takdir semata-mata.

“Walaupun hidup ketika muda dan anak-anak masih kecil dulu tidak begitu senang, mak cik tetap bersyukur dikurniakan rezeki memiliki anak-anak yang mendengar kata dan rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga dan hasilnya kami nikmati kini, “ kata Kiah yang turut berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) kerana memilih keluarganya sebagai penerima anugerah itu.

Sembilan anak Kiah adalah Noriah Abu Bakar, 48, surirumah; Noreha, 46, guru (bekas penuntut Universiti Putra Malaysia); Musalmah, 44, surirumah; Hanafi 42, berniaga (bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tarmizi, 39, juruteknik (bekas penuntut Politeknik); Suhaidi, 35, pegawai agensi pelancongan ; Nurbairi, 29, jurutera (bekas penuntut UTM); Zatul Itri, 25 (sedang mengikuti Master, di UPM) dan Nor Hasmira, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dengan diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud menyampaikan hadiah kepada semua penerima anugerah mengikut Dewan Undangan Negeri (Dun). Hadir sama, Adun Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman.

Turut hadir, Pengarah YPK Terengganu, Encik Shafaruddin Mustafa.


TEGANUKITA

Terengganu Jadi Medan Gamelan Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menjadi medan pertemuan ramai pakar, pencinta serta peminat gamelan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand bagi menyertai Festival Gamelan Sedunia 2010 di Taman Syahbandar, Kuala Terengganu, sejak 23 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata para penggiat serta pencinta gamelan tempatan seharusnya merebut peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencungkil dan menggali seribu rahsia dan infomasi daripada mereka ini untuk dimanfaatkan ke arah perkembangan dan pembangunan gamelan di Terengganu khasnya.

“Saya amat beharap menerusi portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri akan dapat merancang strategi terbaik bagi merealisasikan hasrat murni ini.

“Kita tidak mahu festival ini muncul dan kemudiannya berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan apa-apa kesan dan faedah yang positif. Jadikan ia sebagai pemangkin dalam usaha kita untuk mengangkat seni gamelan ke pentas antarabangsa dan sudah tentu kita juga inginkan agar seni gamelan ini menjadi ikon dan teras kepada kegiatan seni di Terengganu yang kita sayangi,” katanya di Majlis Perasmian Festival gamelan Sedunia 2010, malam kelmarin (23 Julai).

Beliau berkata, sudah sampai masa dan ketikanya untuk jadikan gamelan Melayu ini menjadi hebat dan bertaraf lima bintang, setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali.

Dato’ Ahmad juga berharap supaya pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan melalui Pejabat pendidikan Negeri dapat mengembangkan lagi program pendidikan seni gamelan ini.

Misalnya dengan memperuntukkan sejumlah wang kepada sekolah terpilih bagi membiayai pembelian set alat muzik gamelan, mengadakan program latihan kemahiran khas kepada guru muzik sekolah dan mengadakan satu pusat latihan khas bagi murid-murid yang berpotensi mempelajari seni gamelan.

Katanya, diharap dua tahun lagi setiap daerah di negeri ini terdapat sekurang-kurangnya lima sekolah yang memiliki kumpulan gamelan sendiri.

“Kita perlu mencontohi Johor dalam usaha memartabatkan seni tarian zapin, di mana setiap sekolah di Johor mempunyai kumpulan zapin mereka sendiri. Kita mahu agar suatu masa nanti Terengganu bakal menjadi peneraju serta negeri yang memayungi seni gamelan di negara ini. Sebut sahaja gamelan, maka tergambarlah negeri Terengganu,” katanya.

TEGANUKITA