Halaman

17 October 2010

Dakwah Untuk Orang Asli

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Masyarakat Orang Asli di negeri ini, mula menunjukkan minat untuk mendalami pelbagai ilmu terutama berkaitan pentingnya pegangan agama Islam dalam hidup.

Usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu menganjurkan beberapa program berbentuk dakwah dan kebajikan.nyata memberi perkembangan positif.

Program yang dianjurkan itu bertujuan merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di mana sebelum ini hanya berpandukan cara hidup persekitaran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Encik Khazan Che Mat, berkata kerjasama dan komitmen yang diberikan agensi berkaitan amat dihargai dan perlu diteruskan untuk kepentingan bersama terutama berkaitan ajaran Islam.

“Islam bukan agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan malah
ia bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menyeru masyarakat Orang Asli supaya mendalami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya sekadar pada nama sahaja,”katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan sentiasa berusaha membantu mendalami ajaran mulia ini melalui beberpada pendekatan selain menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

“Golongan ini juga sewajarnya mementingkan aspek pendidikan kerana melaluinya setiap masyarakat boleh maju dan mengecapi keselesaan hidup,” katanya.


TEGANUKITA

Taman-Eko Burung Walit di Jerangau

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Sebuah syarikat Bumiputera akan membangunkan kawasan di Cermin Kiri, Jerangau, Dungun sebagai Taman-Eco Burung Walit.

Industri burung walit yang semakin popular di seluruh dunia mendorong sebuah syarikat Bumiputera merancang membangunkan kawasan Cermin Kiri, di Jerangau, Dungun sebagai Taman-Eko Burung Walit.

Syarikat itu berhasrat membina antara 20 dan 25 unit rumah burung walit serta kilang dalam taman- eko itu nanti.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Azizol Mohd Sharom, berkata jabatannya menerima pelbagai permohonan daripada pihak swasta untuk melabur dalam industri burung walit di Terengganu.

Dianggarkan kira-kira 800 pengusaha burung walit di Terengganu sehingga hari ini, tetapi separuh daripada mereka dikatakan tidak aktif.

Mengenai makmal itu, Dr Azizol berkata ia dibina untuk menjadi contoh kepada mereka yang baru hendak menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, JPV bakal memperkenalkan model rumah burung walit yang lebih kecil dan lebih murah berbanding rumah burung yang biasa dibina di sini.

Rumah contoh itu dibina di Pusat Veterinar Jerangau, Dungun dengan kos kira-kira RM28,000 seunit.
Dr Azizol menyasarkan industri sarang burung walit di kalangan Bumiputera di Terengganu akan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2015 berbanding lebih 4 peratus sekarang.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti beberapa daerah di Terengganu berpotensi untuk mengusahakan ternakan itu termasuk di Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.

Daripada kajian yang dijalankan, katanya kebanyakan burung walit dari Indonesia berhijrah ke Terengganu setelah berlaku kebakaran hutan di negara berkenaan.

Dr Azizol berkata nilai industri burung walit di dunia sekarang mencecah RM60 bilion dan Malaysia menduduki tempat ketiga dalam industri itu selepas Indonesia dan Thailand.


TEGANUKITA

PBT Perlu Peka Terhadap Bahasa

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kerajaan negeri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peka terhadap penggunaan bahasa terutama berkaitan paparan iklan, papan tanda dan nama jalan, supaya tidak disalah erti oleh pelbagai pihak.

Perkara ini selaras dengan undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan perlu diikuti pihak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penggunaan bahasa cukup penting terutama jika ingin dipaparkan kepada umum dan masyarakat luar.

Katanya, kempen bulan bahasa kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, sesuai dengan gagasan 1 Malaysia.

“ Inilah bukti usaha kita untuk memperkukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan,” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar sempena Majlis Perlancaran Bulan Bahasa Kebangsaaan 200 peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (12 Oktober).

Lebih 2,000 peserta pelbagai institusi dan agensi hadir di majlis itu yang turut diserikan persembahan puisi, sketsa dan lafaz ikrar sumpah setia bahasa.

Encik Razif turut menggesa masyarakat Terengganu memperbaharui iltizam dan azam bagi memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia

Sewajarnya, sebagai warganegara Malaysia, kita mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan tanpa diselitkan bahasa asing lain dalam setiap perbualan.

TEGANUKITA

12 October 2010

Pakaian Atlet Negara Di Sukan Komanwel Tak Perlu Dijadikan Isu -Shabery

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek membidas sesetengah pihak yang terlalu banyak mengkritik atlet negara secara tidak munasabah, termasuk menjadikan soal berpakaian mereka pada Sukan Komanwel 2010 sebagai isu.

Beliau berkata kementeriannya menerima rungutan dan komen negatif daripada pihak tertentu berhubung pakaian atlet, termasuk semasa perbarisan pada pembukaan Sukan Komanwel ke-19 yang sedang berlangsung di New Delhi, India.

Terbaru, pakaian pemenang pingat emas acara angkat berat kelas 62 kilogram, Arrico Jumitih turut dikritik kerana atlet dari Sabah itu dikatakan memakai pakaian dengan lambang negeri yang tidak bersesuaian dengan acara di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kritikan seumpama itu adalah sesuatu yang negatif, selain tidak wajar untuk menghukum atlet semata-mata berdasarkan pakaian mereka.

"Saya difahamkan sukan angkat berat terlalu sensitif terhadap banyak perkara, mungkin makanan, pakaian atau persekitaran. Kadang-kadang kalau pakaian tak selesa, mereka tak boleh lakukan yang terbaik.

"Mungkin itu pakaian paling selesa untuk Arrico pada masa itu, dan ia terbukti menyumbang kepada kemenangan beliau. Pakaian atlet semasa perbarisan juga dikritik, sepatutnya ia tidak dijadikan isu kerana kita tak nak menang berbaris, tapi kalah semasa berjuang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan memperbaiki perkara itu pada masa depan, sekiranya ia didapati menimbulkan kecacatan.

Mengulas mengenai pencapaian negara setakat ini, Ahmad Shabery berkata sasaran 10 pingat emas masih tidak mustahil dicapai, walaupun temasya sukan itu semakin hampir ke penghujung.

Katanya, beliau berpuashati kerana kebanyakan acara yang diharap mampu menyumbangkan emas, berjaya mencapai sasaran, dan ada juga acara yang mencipta kejutan, seperti menembak dan basikal.

"Kita yakin dapat capai sasaran, tetapi tak bolehlah cakap besar, apa yang penting, cuba yang terbaik dan pastikan pingat itu milik kita," katanya selepas merasmikan penutupan Program Selangkah Ke Universiti (Universiti Malaysia Terengganu) yang disertai 200 pelajar Tingkatan Empat di sini hari ini.

Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan, selain memastikan mereka mempunyai hala tuju selepas menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

-- BERNAMA

Kawasan Bebas Cukai Pulau Bayas Dijangka Siap Ogos 2012

HULU TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja awal bagi mewujudkan sebuah kawasan bebas cukai di Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Terengganu dengan peruntukan awal RM100 juta akan bermula bila-bila masa dari sekarang dan dijangka siap Ogos 2012.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, tumpuan pembinaan buat masa ini ialah menyiapkan jeti dan sebuah kompleks persinggahan terlebih dahulu sebelum disusuli rangkaian kompleks perkedaian.

"Kita hanya menunggu reka bentuk pembinaan jeti berkenaan daripada arkitek dan kalau mereka boleh siap dalam masa sebulan ini, maka tender untuk pembinaan jeti berkenan akan dikeluarkan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau semakan terakhir sebelum kerja-kerja awal pembinaan kawasan bebas cukai di pulau berkenaan, yang merupakan julung kali diwujudkan di negeri itu dilaksanakan.

Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam Tasik Kenyir, berkeluasan kira-kira 700 hektar. Daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal ini. Projek itu akan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di Tasik Kenyir setelah ia diwujudkan sejak 30 tahun lalu.

Ahmad berkata, kerajaan bukan sahaja akan memajukan Pulau Bayas, tetapi pulau-pulau di sekitarnya untuk dijadikan pulau taman burung, pulau orkid, pulau herba, pulau buah-buahan tropika dan juga Santuari Ikan Kelah yang mampu menarik pengunjung ke tasik berkenaan.

Katanya, jeti di pangkalan Gawi juga akan diubahsuai di mana Kompleks Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan ditempatkan di situ.

Beliau berkata, dengan adanya kompleks itu, pengunjung yang datang dan pulang hanya akan melalui kompleks berkenaan sebelum berlepas ke destinasi masing-masing.

Katanya, pembinaan kawasan bebas cukai berkenaan akan dibuat dalam dua konsep iaitu secara tender dan juga secara perjanjian di mana apabila siap sesuatu projek, baru bayaran dibuat kepada syarikat berkenaan.

"Apabila ia siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang, projek berkenaan merupakan pemangkin kepada industri pelancongan di negeri Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

Satu Lagi Jambatan Hubungkan Kampung Tanjung-Seberang Takir

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu dijangka membina sebuah lagi jambatan menghubungkan Kampung Tanjung di sini dan Seberang Takir pada tahun hadapan bagi memendekkan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, pusat pengajian tinggi serta kompleks sukan yang terletak di utara Kuala Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata jambatan itu unik kerana ia boleh dibuka dan ditutup untuk laluan kapal memasuki muara Sungai Terengganu.

"Peruntukan untuk membina jambatan itu sudah ada, namun kita tunggu persetujuan daripada Perdana Menteri terlebih dahulu," katanya semasa berucap menutup Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan di sini Ahad malam.

Ahmad berkata jambatan itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Kuala Terengganu City Centre yang akan dibangunkan tahun hadapan.

Katanya selain menyingkatkan waktu perjalanan, ia juga akan mengurangkan kesesakan di laluan utama Jambatan Sultan Mahmud dan juga Jambatan Manir.

Sebelum ini, kerajaan Terengganu telah bersetuju untuk membina sebuah jambatan baru menghubungkan Kampung Losong dengan Kampung Bukit Datu di sebelah utara Kuala Terengganu.

Jambatan itu juga akan akan dibina tahun hadapan.

Ahmad juga berkata, mulai tahun hadapan banyak projek mengindahkan bandar raya Kuala Terengganu akan dijalankan, antaranya memasang lampu hiasan di sepanjang tebing Sungai Terengganu dan Pulau Warisan yang kini menjadi destinasi pelancongan yang baru.

Katanya kerja mendalamkan Sungai Terengganu sehingga ke kawasan Batu Bersurat di Hulu Terengganu akan dijanlankan bagi membolehkan bot-bot pelancong menyusuri sungai berkenaan.

"Kita juga menempah dua buah bot dari Thailand untuk 'river cruise' menyusuri Sungai Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

SCTEC rancakkan ekonomi Terengganu

Oleh : SURIATI BINTI ALI



Pra Perasmian Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge 2010 di Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Penganjuran tahunan kejohanan Sultan`s Cup Terengganu Endurance Challenge (SCTEC) 2010, nyata merancakkan lagi perkembangan ekonomi Terengganu khususnya di sektor pelancongan.

Malah, kejohanan ini turut memberi peluang kepada anak tempatan untuk menimba lebih banyak pengalaman serta melahirkan kepakaran dalam penganjuran kejohanan sukan bertaraf dunia ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri tidak dapat menolak bahawa perlaksanaan kejohanan berpretij sebegini, ia mampu meletakkan Terengganu sebagai sebagai sebuah negeri pelancongan sukan yang unggil.

Katanya, usaha ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan pelancongan sebagai satu sektor utama yang menjana pendapatan ekonomi negeri di samping mengurangkan kebergantungan terhadap petroleum dan gas asli.

“Sepanjang penganjuran SCTEC , sukan berkuda semakin dekat di hati rakyat Terengganu serta mampu melahirkan lebih ramai anak Terengganu yang pakar berkaitan sukan berprestij ini.

“Malah, melalui kejohanan sama, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah 2008 FEI World Endurance Championship sekaligus meletakkan Terengganu dan trek perlumbaan di Lembah Bidong, Setiu sebagai lokasi terbaik di dunia,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kejohanan (SCTEC) 2010, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, kelmarin.

Kerajaan negeri berharap SCTEC terus mengorak langkah dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial komuniti di Terengganu.

TEGANUKITA

200 ribu banjiri Sua Rasa

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Lebih 200,000 penduduk tempatan dan luar Terengganu membanjiri dataran Pulau Warisan bagi melihat secara dekat Program Sua Rasa anjuran bersama kerajaan negeri dan TV9 sekaligus dapat mengenali destinasi pelancongan terbaru di negeri ini.

Program selama dua hari bermula 7 dan 8 september itu simbolik dengan aktiviti kemasyarakatan nyata dapat memupuk rasa kekitaan antara kaum dan pelbagai golongan.

Pendekatan ini dilaksanakan melalui beberapa program termasuk Irama Sua Rasa, rakaman rancangan Halaqah, persembahan kebudayaan dan kesenian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bercadang meningkatkan pelbagai kemudahan di Pulau Warisan bertujuan menarik minat lebih ramai kedatangan pelancong.

Antara kemudahan itu termasuk, pentas kebudayaan dan kesenian, tempat riadah, pondok rehat, pusat makanan tradisional Terengganu, beberapa unit lampu limpah dan bot cruise.

Katanya, penduduk Kampung Cina disaran memperindahkan kediaman masing-masing berikutan kawasan mereka menjadi laluan utama sebelum tiba di Pulau Warisan.

“Kalau cantik dan bersih, secara tidak langsung dapat menaikkan imej negeri dan meningkatkan kedatangan pelancong,” katanya.

TEGANUKITA

11 October 2010

100 Kelas Lahir Generasi Celik al-Quran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan ESAH ABDULLAH

Usaha melahirkan generasi celik al-Quran sejak kecil terus diperkasakan kerajaan negeri apabila sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi membiayai pengurusan 100 kelas khas al-Quran di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negeri mulai tahun depan.

“Setiap kelas akan diperuntukkan RM8,000 bagi penambahbaikan kelas Al-Quran tersebut,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas merasmikan Program Pintar Al-Quran 2010, Kanak-kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, semalam (9 Oktober).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al- Amin Ismail dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Puan Nor Hazelina Hashim.

Seramai 6,246 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun khatam Quran tahun ini melibatkan 1,630 daripada Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT), kanak-kanak pra sekolah Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) (2,800), Tadika Kemas (1,666) dan Tadika Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPINT) seramai 150 kanak-kanak.

“Ternyata setiap tahun peningkatan jumlah khatam al-Quran amat ketara di mana tahun lalu seramai 4,622 kanak-kanak dan tahun sebelumnya (2008) seramai 2,660,” katanya.

Menurutnya, hasrat kerajaan untuk mengumpul 20,000 pelajar khatam sebelum melangkah ke sekolah menengah sudah melepasi sasaran kerana sehingga kini terdapat 23,202 orang termasuk kanak-kanak pra sekolah dan kelas-kelas Tabika berjaya menamatkan bacaan masing-masing.

“Tahun ini 16,956 pelajar sekolah rendah (tahun satu hingga enam) telah khatam Quran berbanding tahun lalu 14,000 pelajar dan majlis khatam untuk pelajar sekolah rendah ini akan diadakan pada 30 oktober depan,” katanya.

Katanya, kerajaan menyasarkan dapat melahirkan 30,000 generasi muda yang celik Al-Quran setiap tahun dan 10,000 daripadanya terdiri dari kanak-kanak pra sekolah.

Mengenai guru-guru agama yang akan memimpin kelas-kelas Al-Quran seluruh negeri, kursus-kursus persediaan kepada tenaga pengajar sentiasa diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari masa ke semasa.

“Saya cukup berbangga dengan pencapai kanak-kanak pra sekolah hari ini yang mampu menguasai Al-Quran dalam usia muda dan kita akan pertingkatkan usaha kearah pembentukan generasi yang mampu menjana kepimpinan muslim bertaraf global,” katanya.

TEGANUKITA

KT-2010 Mantap Jentera Kerajaan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan Esah Abdullah

Semua peringkat pimpinan parti, para ilmuwan agama, kelompok cendekiawan, golongan profesional, kakitangan kerajaan, pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) aktivitis masyarakat dan generasi belia merupakan gandingan mantap dalam meneruskan kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata mereka ini diberi peluang berkongsi idea dan input-input semasa dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada di masa lalu.

“Perkongsian dan pendedahan yang seimbang perlu agar pemimpin hari ini sentiasa bersedia dan peka untuk membentengi serta menghancurkan hasutan dan fitnah pihak lawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Terengganu 2010 (KT-2010), di pejabatnya, hari ini (10 Oktober).

Katanya, KT-2010 dengan tema ‘Teganu Kita: Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ menjadi landasan percambahan idea dan pemikiran serta memantapkan arah tuju gerakan jentera pentadbiran negeri.

“Sebenarnya teras kepada kekuatan sesebuah kerajaan adalah berpaksikan kepada perpaduan, kesetiaan dan komitmen penyokong dan pendukungnya untuk itu perlunya ada satu pentas khusus membicarakan agenda ini iaitu KT-2010 yang kita rancang ini,” katanya.

KT-2010 akan mengupas isu kepimpinan kerajaan dan pembangkang terutama wakil rakyat dalam melaksanakan tanggungjawabnya agar sampai kepada kumpulan sasar dengan lebih tepat dan berkesan.

“Melalui konvensyen ini juga, usaha memperkasakan kerajaan dengan penglibatan secara ‘total’ semua lapisan pemimpin dan kelompok masyarakat agar bangkit pertahankan kerajaan dan kepimpinan negeri sekarang,” katanya.

Dato’ Tengku Putera berharap melalui KT-2010, akan lahir satu natijah yang besar, tentang perjuangan UMNO negeri yang kental dan telus dan sentiasa berusaha merintis jalan ke arah kebaikan untuk rakyat jelata.

TEGANUKITA