Halaman

12 October 2010

Kawasan Bebas Cukai Pulau Bayas Dijangka Siap Ogos 2012

HULU TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja awal bagi mewujudkan sebuah kawasan bebas cukai di Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Terengganu dengan peruntukan awal RM100 juta akan bermula bila-bila masa dari sekarang dan dijangka siap Ogos 2012.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, tumpuan pembinaan buat masa ini ialah menyiapkan jeti dan sebuah kompleks persinggahan terlebih dahulu sebelum disusuli rangkaian kompleks perkedaian.

"Kita hanya menunggu reka bentuk pembinaan jeti berkenaan daripada arkitek dan kalau mereka boleh siap dalam masa sebulan ini, maka tender untuk pembinaan jeti berkenan akan dikeluarkan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau semakan terakhir sebelum kerja-kerja awal pembinaan kawasan bebas cukai di pulau berkenaan, yang merupakan julung kali diwujudkan di negeri itu dilaksanakan.

Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam Tasik Kenyir, berkeluasan kira-kira 700 hektar. Daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal ini. Projek itu akan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di Tasik Kenyir setelah ia diwujudkan sejak 30 tahun lalu.

Ahmad berkata, kerajaan bukan sahaja akan memajukan Pulau Bayas, tetapi pulau-pulau di sekitarnya untuk dijadikan pulau taman burung, pulau orkid, pulau herba, pulau buah-buahan tropika dan juga Santuari Ikan Kelah yang mampu menarik pengunjung ke tasik berkenaan.

Katanya, jeti di pangkalan Gawi juga akan diubahsuai di mana Kompleks Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan ditempatkan di situ.

Beliau berkata, dengan adanya kompleks itu, pengunjung yang datang dan pulang hanya akan melalui kompleks berkenaan sebelum berlepas ke destinasi masing-masing.

Katanya, pembinaan kawasan bebas cukai berkenaan akan dibuat dalam dua konsep iaitu secara tender dan juga secara perjanjian di mana apabila siap sesuatu projek, baru bayaran dibuat kepada syarikat berkenaan.

"Apabila ia siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang, projek berkenaan merupakan pemangkin kepada industri pelancongan di negeri Terengganu," katanya.

-- BERNAMA