Minat yang mendalam terhadap bidang kemahiran kejuruteraan pembuatan sehingga sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sains Komputer ternyata membuahkan hasil buat Mohd Zairi Kamaruddin, 24, apabila muncul penerima Anugerah Canselor Kolej Universiti Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATiUC) sempena Majlis Konvokesyen Ke-4 kolej universiti itu, di Kampus Pusat Teknologi Maklumat (ITC), Teluk Kalong, Kemaman, semalam (9 Oktober).
Mohd Zairi dari Gelugor, Pulau Pinang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.89 dalam Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Tool and Die Design) berhasrat menjadi pensyarah dalam bidang berkaitan selepas menamatkan Ijazah kejuruteraan Pembuatan (Peralatan) di TATiUC tidak lama lagi.
Kecemerlangan anak keempat daripada lima beradik pasangan Kamarudin Mohd, 60, dengan Sharum Hashim, 50, hasil pengurusan masa yang baik antara belajar dan riadah serta tumpuan yang penuh terhadap pelajaran, selain sering melakukan solat hajat terutama menjelang peperiksaan.
Selain Zairi, Kok Liang Yi, pemegang Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) Kejuruteraan Elektrikal /Elektronik penerima Anugerah Edexcel memperolehi GPA 3.69 berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Universiti Teknologi Petronas tidak lama lagi.
Dua pelajar cemerlang berkenaan antara 369 graduan TATiUC yang menerima sijil, diploma dan HND dalam bidang masing-masing yang disampaikan Canselor TATiUC, Tan Sri Dato’ Ir Wan Abdul Rahman Wan Yaacob.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Rektornya, Dr Mohd Rozailan Mamat.
Sebelum itu, Majlis makan Malam Bersama Canselor sempena Majlis Konvokesyen TATiUC Kali Ke-4 yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah TATiUC, pegawai dan kakitangan kolej universiti berkenaan, di Awana Ballroom, Hotel Awana Kijal.
Dalam pada itu, Haji Ahmad Razif berkata, TATiUC mencatat pertambahan pelajar terbaru sesi 2010/2011 apabila seramai 715 pelajar berbanding hanya 450 pada tahun sebelumnya dalam tempoh 17 tahun.
Perkembangan itu juga sejajar dengan hasrat TATiUC muncul sebagai universiti kemahiran penuh pada 2015 dan memenuhi syarat yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) setanding dengan universiti penuh yang lain.
Katanya, dalam tempoh lima tahun dari sekarang, TATiUC perlu bersedia dan lengkap dari pelbagai aspek terutama kemudahan fasiliti seperti asrama, bangunan akademik, dewan konvesyen dan kompleks sukan yang menelan belanja kira-kira RM40 juta selain 90 peratus tenaga pendidik TATiUC sekurang-kurangnya pemegang Master .
TEGANUKITA