Halaman

10 October 2010

Pulau Warisan Destinasi Pelancongan Baru Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM60 juta untuk membangunkan Pulau Warisan yang terletak bersebelahan Kampung Cina di muara sungai Terengganu di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pulau buatan seluas enam hektar yang dibangunkan sejak tiga tahun lepas itu merupakan destinasi pelancongan terbaru di negeri ini.

"Pulau ini belum siap sepenuhnya kerana kita dalam peringkat menyediakan segala kemudahan seperti memasang beraneka jenis lampu bagi mengindahkan lagi pemandangan di waktu malam. Semua kemudahan di pulau itu dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan," katanya ketika ditemui semasa melawat pulau itu di sini Jumaat.

Selain itu, beliau turut berharap penduduk Kampung Cina dapat mengindahkan kediaman mereka memandangkan kampung itu juga sering menjadi tumpuan pelancong, tambahan pula kedudukan pulau itu yang berhadapan dengan kediaman mereka.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan mendalamkan lagi sungai Terengganu sehingga ke kawasan Batu Bersurat di Hulu Terengganu.

Katanya ketika ini sungai berkenaan begitu cetek dan perlu digali supaya bot boleh sampai sehingga ke hulu sungai itu dan projek dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

-- BERNAMA