Halaman

11 October 2010

KPDNKK Pinda Akta Untuk Percepat Proses Paten Dan Cap Dagang

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meminda dua akta berkaitan Akta Cap Dagangan dan paten dalam usaha untuk mempercepatkan dan memudahkan prosedur pendaftaran dua perkara itu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa kini urusan untuk mendaftar cap dagangan dan paten mengambil masa yanga agak lama menyebabkan ramai peniaga terutama usahawan Insutri Kecil dan Sederhanan (IKS) kurang berminat untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

"Pada masa kini untuk mendaftar cap dagangan sahaja mengambil masa sehingga 24 bulan manakala bagi pendaftaran paten pula memakan masa sehingga 30 hingga 40 bulan dan ini merupakan satu tempoh yang agak lama.

"Sehubungan itu kementerian akan meminda dua akta tersebut dan dijangka akan dibentangkan di sidang Dewan Rakyat pada bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kesedaran Harta Intelek IKS Zon Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Katanya, sekiranya pindaan itu diluluskan, proses pendaftaran cap dagangan hanya akan mengambil masa paling cepat antara tiga bulan hingga lapan bulan, manakala proses pendafataran paten pula hanya 18 bulan.

Menurutnya, jika berlaku ia akan meletakkan Malaysia di kalangan kelompok negara yang paling cepat memproses pendaftaran dua perkara tersebut mendahului negara Jepun, Korea dan Singapura.

Beliau berta dua lagi akta yang kini dalam proses pindaan termasuk Akta Hak Cipta dan Akta Reka Bentuk Industri yang mana kini dokumennya berada di peringkat penelitian Peguam Negara.

-- BERNAMA