Halaman

10 October 2010

1,500 Pemilik Vespa Dari Empat Negara Berkumpul Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Okt (Bernama) -- Lebih 1,500 pemilik motosikal Vespa termasuk dari tiga negara asing dijangka berkunjung ke Terengganu pada Sabtu ini untuk menyertai Festival Vespa Asia di Institut Integriti Negeri Terengganu di sini.

Pengerusi Persatuan Vespa Negeri Terengganu Razali Mohd berkata festival yang julung kali diadakan di peringkat Asia itu diadakan selama tiga hari dengan disertai peminat Vespa dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

" Bagaimanapun Filipina dan Brunei tidak dapat menghantar pesertanya untuk festival kali ini," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Razali berkata festival itu bertujuan mewujudkan perpaduan antara anggota kelab Vespa di rantau ini selain mempromosikan produk pelancongan Terengganu seperti Tasik Kenyir, Pulau Perhentian dan Taman Tamadun Islam (TTI) kepada pengunjung luar.

Festival yang dijangka dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said itu turut mendapat kerjasama kerajaan negeri.