Halaman

11 October 2010

Maidam Terima Penarafan Empat Bintang

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2009 daripada Jabatan Audit Negara.

Yang Dipertua Maidam Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata majlis penyerahan anugerah tersebut telah diadakan sempena Hari Audit Se-Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2010 di Port Dickson pada 27 Sept lalu.

Bercakap kepada pemberita pada majlis kesyukuran meraikan kejayaan itu dan majlis penyerahan zakat di sini hari ini, beliau berkata peningkatan itu menunjukkan tanda-tanda transformasi dan penambahbaikan dalam menguruskan kewangan yang diamanahkan.

Sebelum itu, Maidam menerima zakat daripada Bank Rakyat Wilayah Timur sebanyak RM996,753 dan Divisyen Pelaburan, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad sebanyak RM79,000.

Mazlan berkata sehingga hari ini, Maidam telah menerima zakat sebanyak RM55 juta, sedangkan sasarannya ialah RM80 juta tahun ini.

Katanya pembayaran zakat fitrah melalui SMS yang pertama kali diperkenalkan Maidam tahun lepas dengan kutipan sebanyak RM7,000 telah berkembang dan meningkat kepada RM19,000 pada tahun ini.

-- BERNAMA