Halaman

11 October 2010

Kutipan Zakat Bertambah RM3 juta

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengumpul zakat sebanyak RM52 juta sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu meningkat RM3 juta bagi bagi tempoh yang sama berbanding tahun lalu. Daripada keseluruhan kutipan zakat berkenaan, RM16.6 juta melibatkan zakat pendapatan dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding tahun lalu yang berjumlah RM16.2 juta.

Daripada keseluruhan zakat yang terkumpul tahun ini, sebanyak RM14.8 juta adalah zakat perniagaan yang menurun RM2.4 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman, berkata peningkatan jumlah kutipan zakat banyak dipengaruhi oleh kesan ekonomi semasa yang menyebbkan umat Islam serta syarikat membayar zakat yang lebih tinggi hasil perolehan pendapatan dan keuntungan pada tempoh berkenaan.

“Zakat simpanan juga berlaku peningkatan daripada RM10.7 juta tahun lalu kepada RM12.7 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini,” katanya di Damai Louge Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (6 Oktober).

Haji Wan Harujan sebelum itu menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM100,000 daripada MIDF Property Sdn Bhd yang diserahkan Pengerusinya, Dato’ Kalsom Abdul Rahman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah turut menyaksikan majlis penyerahaan itu.


TEGANUKITA