Semua peringkat pimpinan parti, para ilmuwan agama, kelompok cendekiawan, golongan profesional, kakitangan kerajaan, pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) aktivitis masyarakat dan generasi belia merupakan gandingan mantap dalam meneruskan kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata mereka ini diberi peluang berkongsi idea dan input-input semasa dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada di masa lalu.
“Perkongsian dan pendedahan yang seimbang perlu agar pemimpin hari ini sentiasa bersedia dan peka untuk membentengi serta menghancurkan hasutan dan fitnah pihak lawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Terengganu 2010 (KT-2010), di pejabatnya, hari ini (10 Oktober).
Katanya, KT-2010 dengan tema ‘Teganu Kita: Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ menjadi landasan percambahan idea dan pemikiran serta memantapkan arah tuju gerakan jentera pentadbiran negeri.
“Sebenarnya teras kepada kekuatan sesebuah kerajaan adalah berpaksikan kepada perpaduan, kesetiaan dan komitmen penyokong dan pendukungnya untuk itu perlunya ada satu pentas khusus membicarakan agenda ini iaitu KT-2010 yang kita rancang ini,” katanya.
KT-2010 akan mengupas isu kepimpinan kerajaan dan pembangkang terutama wakil rakyat dalam melaksanakan tanggungjawabnya agar sampai kepada kumpulan sasar dengan lebih tepat dan berkesan.
“Melalui konvensyen ini juga, usaha memperkasakan kerajaan dengan penglibatan secara ‘total’ semua lapisan pemimpin dan kelompok masyarakat agar bangkit pertahankan kerajaan dan kepimpinan negeri sekarang,” katanya.
Dato’ Tengku Putera berharap melalui KT-2010, akan lahir satu natijah yang besar, tentang perjuangan UMNO negeri yang kental dan telus dan sentiasa berusaha merintis jalan ke arah kebaikan untuk rakyat jelata.
TEGANUKITA