Halaman

17 October 2010

Dakwah Untuk Orang Asli

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Masyarakat Orang Asli di negeri ini, mula menunjukkan minat untuk mendalami pelbagai ilmu terutama berkaitan pentingnya pegangan agama Islam dalam hidup.

Usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu menganjurkan beberapa program berbentuk dakwah dan kebajikan.nyata memberi perkembangan positif.

Program yang dianjurkan itu bertujuan merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di mana sebelum ini hanya berpandukan cara hidup persekitaran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Encik Khazan Che Mat, berkata kerjasama dan komitmen yang diberikan agensi berkaitan amat dihargai dan perlu diteruskan untuk kepentingan bersama terutama berkaitan ajaran Islam.

“Islam bukan agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan malah
ia bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menyeru masyarakat Orang Asli supaya mendalami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya sekadar pada nama sahaja,”katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan sentiasa berusaha membantu mendalami ajaran mulia ini melalui beberpada pendekatan selain menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

“Golongan ini juga sewajarnya mementingkan aspek pendidikan kerana melaluinya setiap masyarakat boleh maju dan mengecapi keselesaan hidup,” katanya.


TEGANUKITA