Halaman

19 October 2010

KIST Cadang Buka Cawangan Di Kedah, Sabah Dan Sarawak

KUALA TERENGGANU, 18 Okt (Bernama) -- Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang mula beroperasi di Bachok, Kelantan lima tahun lalu dan membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada 2009, kini melangkah lebih jauh dan akan membuka tiga lagi cawangannya awal tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Pensihat KIST Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, KIST bakal membuka cawangannya di Kota Kinabalu, Sabah, Kuching (Sarawak) dan di Kedah.

"Buat permulaan setiap kampus menyediakan empat bidang pendidikan sains kesihatan di mana setiap kursus melibatkan 50 pelajar pada peringkat awal dan sasaran kita sehingga 10,000 pelajar apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak," katanya pada majlis konvokesyen ketiga KIST dan penyampaian diploma serta sijil kepada 748 graduan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini Isnin.

Tengku Putera berkata pembukaan tiga cawangan baru itu, yang dijangka menelan belanja sehingga RM20 juta, adalah kerana ramai pelajar berasal dari negeri-negeri berkenaan.

Tengku Putera berkata, buat permulaan ketiga-tiga cawangan itu akan menawarkan pengajian di bidang kesihatan seperti Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan dan Sains Sukan dan X-Ray.

"Kita dapati bidang kesihatan mendapat pasaran kerja yang baik terutama di kalangan swasta di mana 90 peratus bekas pelajar KIST berkhidmat dengan swasta," katanya.

-- BERNAMA