Halaman

20 October 2010

Makanan Percuma Untuk Keluarga Jemaah di LTSM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kerajaan Terengganu menyediakan makanan percuma kepada keluarga yang mengiringi bakal jemaah haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kerajaan Terengganu muncul negeri pertama yang menyediakan makanan secara percuma kepada lebih 4,000 keluarga yang mengiringi bakal jemaah haji yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Inisiatif kerajaan menyediakan makanan itu bagi memudahkan orang ramai memperolehi makanan tanpa perlu bersusah-payah mendapatkan kedai makan dan mengeluarkan belanja, selain berasa selesa sepanjang mengiringi keluarga masing-masing ketika di LTSM.

Pelbagai menu berbeza seperti nasi minyak, nasi tomato dan nasi kuning termasuk minuman dan kuih-muih disediakan melalui penyelarasan Pejabat Menteri Besar untuk kemudahan 4,000 hingga 5,000 orang bermula jam 12.30 tengah hari sehingga petang setiap kali jadual penerbangan membwa jemaah haji berlangsung.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata sejak 2008 kerajaan negeri menyediakan makanan secara percuma bagi memudahkan keluarga jemaah berikutan kawasan LTSM yang kurang kemudahan perkedaian serta mereka pula datang dari jauh termasuk Pahang dan Kelantan seterusnya memerlukan tempat makan yang mudah dikunjungi.

“Ini merupakan sumbangan kita kepada para jemaah haji Terengganu (di LTSM) untuk memudahkan keluarga yang mengiringi mereka. Alhamdulillah, mereka dapat makan dengan sempurna bersama keluarga mereka,” kata beliau ketika ditemui di LTSM, Kuala Terengganu, petang ini (19 Oktober).

Menteri Besar juga berbesar hati apabila pihak Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) dan Pihak Lembaga Tabung Haji menyatakan bahawa Terengganu antara negeri terbaik dalam urusan mengendalikan jemaah haji di negara ini.

Katanya, ia terbukti apabila, pihak pengurusan mampu mengendalikan pendaftaran masuk sehingga lebih 300 jemaah selamat berada di dalam penerbangan kurang sejam setiap kali penerbangan.

Dalam pada itu, Menteri Besar, berkata 100 jemaah haji yang bakal berlepas malam ini terdiri daripada kumpulan kakitangan awam, imam, bilal dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) yang mendapat penajaan Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan tiket dan penginapan kepada 100 jemaah terlibat dan inisiatif itu sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

“JKKK dipilih seorang daripada setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mampu menunjukkan perkhidmatan terbaik. Kesemua mereka dipilih sebagai penghargaan kerajaan (negeri) dan tanda terima kasih dengan perkhidmatan terbaik yang diberikan sepanjang bertugas di jabatan dan kawasan masing-masing,” katanya.

Penerbangan hari ini adalah yang keempat sejak 16 oktober lalu melibatkan 356 jemaah yang mula mendaftar sejak jam 4.05 petang sebelum berlepaske Madinah kira-kira jam 8.15 malam.

Seorang jemaah haji, Wan Mohamad Wan Kadir, 60, berkata dia berasa sangat bertuah kerana terpilih untuk menyahut seruan Ilahi bagi menunaikan ibadat haji melalui penajaan kerajaan negeri tahun ini selepas tiga kali menolak tawaran itu sebelum ini.

Dia yang juga Pengerusi JKKK Kampung Tembesu Akar di Dun Sura, Dungun, ditemani isteri Rokiah Muda berterima kasih dengan penghargaan dan inisiatif kerajaan Terengganu dan amat terharu kerana bukan semua dapat peluang yang dikecapnya kali ini.

Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd saidi Abbd rahman, 42, dari Chendering, Kuala Terengganu juga turut melahirkan kesyukuran kerana bakal menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Kota Mekah yang diperolehi menerusi penajaan Kerajaan Terengganu.

"Saya amat gembira dan berterima kasih. Segala yang dilakukan kerajaan dan pihak berwajib dalam mengendalikan para jemaah amat baik dan lancar. Malah, keluarga juga disediakan makanan secara percuma yang tiada di negeri-negeri lain," katanya yang ditemani isteri Zaharah Sembok, 42.

TEGANUKITA